CEO USANITA BAWA PULANG 2 TROFI UTAMA NONA SUPERWOMAN AWARD 2022

January 11th, 2023 / Artikel Anugerah

TANGGAL 11 Januari 2023 menjadi sebuah lagi sejarah manis buat syarikat pemudah cara terkenal negara, Usanita Sdn Bhd apabila pihak penganjur Nona Superwoman Award 2022 mengiktirafnya sebagai Nona Best Business Development SMS Award. 

Berganda manisnya apabila Ketua Pegawai Eksekutif Usanita sendiri, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan turut menerima Nona Best Emerging CEO Award. Malah dua tahun lalu, wanita ‘iron lady’ ini turut diiktiraf Nona Superwoman Award 2020 sebagai Nona Best Thinker Award. 

Bersesuaian dengan kejayaan-kejayaan Usanita dan sudah tentu yang diterajui oleh Datin Seri Adzliana sepanjang 2022, pengiktirafan dilihat sebagai tepat dan wajar. Tahun lalu, Usanita amat aktif membangunkan semula usahawan-usahawan yang pernah ‘terduduk’ akibat pandemik Covid-19 untuk kembali bangkit. 

Setakat ini, lebih 1000 usahawan bernaung di bawah Usanita untuk mendapatkan khidmat nasihat serta peluang-peluang mengembangkan perniagaan masing-masing. 

“Pengiktirafan ini sangat bermakna buat saya dan Usanita walaupun tidak pernah ada niat ke arah anugerah sejak penglibatan saya di dalam keusahawanan. Namun apabila pihak-pihak luar termasuk wakil media seperti Nona dan Ideaktiv nampak serta menilai akan usaha-usaha kami membantu usahawan, saya cukup terharu. 

“Anugerah yang diberi terutama oleh Nona ini akan menjadi suntikan semangat untuk saya menolak Usanita jauh lebih ke depan dan membawa bersama-sama usahawan kami mencapai impian mereka,” kata Datin Seri Adzliana yang berterimakasih kepada penganjur di atas penganugerahan ini.

Menurut Datin Seri Adzliana yang juga Ahli Lembaga Pengarah Yayasan Kebajikan Negara di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, penganugerahan ini bukan bermakna seseorang atau sesebuah syarikat sudah boleh duduk selesa sambil goyang kaki.

Sebaliknya kata Datin Seri Adzliana, ia memerlukan kerja lebih keras bukan sahaja bagi mengekalkan (sustainablity) malah menjadi pemacu kejayaan yang berganda pada masa hadapan. 

“Ia bagaikan tanggungjawab yang lebih berat untuk saya melangkah ke tahun-tahun mendatang kerana cabarannya bukan sedikit. Namun begitu, seperti yang saya katakan tadi, pengiktirafan ini adalah suntikan semangat untuk ke depan dan bukannya berhenti di tampuk selesa,” katanya. 

Lebih 40 anugerah disampaikan pada malam gilang-gemilang yang bertemakan The Oscar Glam yang diadakan di M Resort & Hotel Kuala Lumpur pada 11 Januari lalu itu. Turut hadir pada malam itu ialah isteri Tengku Mahkota Kelantan, Yang Amat Mulia Che Puan Sofie Louise Johansson Petra dan Yang Amat Berbahagia Ton Puan Datuk Patinggi Hajah Raghad Kurdi Taib.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, Postcode Kuala Lumpur Country