MEDIA PRIMA AUDIO BERI SOKONGAN PENUH KEPADA USANITA

March 21st, 2023 / Rakan Strategik Artikel

USANITA Sdn Bhd mengorak langkah ke depan demi mengukuhkan lagi penjenamaannya dengan menjalin kerjasama dengan konglomerat media, Media Prima Berhad menerusi Buletin FM. 

Majlis pelancaran Kerjasama Strategik di antara Usanita dan Buletin FM dimeterai pada 21 Mac lalu di Sri Pentas TV3, Petaling Jaya yang di mana menerusi kerjasama ini, Buletin FM akan melaksanakan pelan kempen dan pengisian sepanjang tahun bagi meningkatkan penjenamaan Usanita sebagai entiti pemudahcara bagi golongan usahawan dan memperkenalkan peranan Usanita kepada umum.


Antara program yang dirancang ialah Usahawan Masterclass Buletin FM yang membolehkan orang ramai membentangkan idea perniagaan sekaligus memenangi dana perniagaan berjumlah RM50,0000.


Turut disusun program lain antaranya webinar khas yang membincangkan topik dan tip keusahawanan yang dibawakan secara langsung menerusi Facebook Buletin FM dan aplikasi Audio+.


Dalam majlis ringkas itu, Usanita diwakili oleh Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan, manakalan Buletin FM diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Media Prima Audio (MPA), Nazri Noran.

“Usanita sentiasa mencari jalan untuk memperkenalkan diri kepada umum dan menerusi kerjasama dengan MPA ini, kami yakin sasaran audiens terutama golongan sasaran kami iaitu golongan B40 akan tercapai.


“Kerjasama strategik ini penting bagi membantu membangunkan modal insan usahawan terutama dalam kalangan usahawan terutama kaum wanita.


“Kami di Usanita juga melihat kerjasama ini sebagai peluang untuk meningkatkan kredibiliti Usanita dalam memperkasakan usahawan wanita selain menyambut baik aspirasi Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang menggalakkan golongan B40 dan M40 menceburi bidang perniagaan,” katanya di dalam majlis yang turut dihadiri penyampai BuletinFM, Izwan Azir, Muaz, Marsila Hassan, Haiza dan Hanif Miswan.


Menurut Datin Seri Adzliana, program yang dilancarkan ini bertujuan membantu usahawan wanita yang ingin menceburi bidang keusahawanan atau yang ingin memantapkan lagi perniagaan sedia ada.

Malah program ini juga membuka peluang kepada orang ramai terutamanya pelajar dan golongan kurang upaya (OKU) untuk menceburi bidang keusahawanan.

“Usanita sentiasa berlapang dada untuk menerima dan meramaikan komuniti dan platform yang ada di bawah USANITA, yang kini sudah ada jaringan komuniti perintis seramai 1200 orang dan dengan gabungan dan kolaborasi ini saya rasa angka itu akan terus bertambah.

“Saya berharap terdapat ramai lagi usahawan yang dapat menjana pendapatan mereka bukan sahaja kepada keluarga tetapi juga untuk ekonomi negara,” katanya.

Sementara itu Nazri berkata, kerjasama ini juga salah satu usaha mempertingkatkan imej stesen Buletin FM yang secara tidak langsung membantu Usanita mempromosikan program mereka yang akan disokong sepanjang tahun menerusi siaran luar Buletin FM dan penampilan khas penyampai Buletin FM.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, Postcode Kuala Lumpur Country