NAD JUARA EPISOD 1 SUPERINTIS USANITA KOOL 101

August 3rd, 2023 / Artikel Perintis Usanita

SELEPAS beberapa bulan ‘bertarung’ dalam pembentangan idea dan pelaksanaan bisnes, akhirnya para panel program realiti SUPERINTIS USANITA KOOL 101 sepakat memilih Nad Masrom sebagai juara kategori produk, manakala Khairunisa pemenang kategori makanan minuman (F&B).

Nad memenangi hati panel juri yang tertarik dengan konsep produk penyusuan bayi Numom Malaysia. Para juri menyifatkan produk Numom Malaysia mampu memberi kesedaran kepada masyarakat terutama ibu-ibu muda tentang permasalahan penyusuan bayi.

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan selaku ketua juri berkata, pemilihan Nad bukan sahaja produknya bagus tetapi cerita tentang perjalanan wanita itu sebelum terbinanya jenama Numom.

“Nad melalui pengalaman pahit yang memberi impak kepada kehidupannya hari ini dan juga satu inspirasi buat ibu-ibu muda di luar sana. Nad pernah melalui detik-detik getir selepas gagal menyusukan anak sehingga bayinya meninggal dunia. 

“Saya rasa ramai masyarakat tidak ambil berat tentang pentingnya penyusuan dan penjagaan susu yang betul untuk bayi. Hadirnya Numom Malaysia ini sekurang-kurangnya mampu membuka mata kita semua tentang penyusuan bayi,” katanya.

Selain Datuk Adzliana, panel juri untuk kategori produk turut dibarisi Datuk Rosyam Nor dan Awal Ashaari. Bagi kategori F&B, Datuk Adzliana dan Datuk Rosyam bergabung sekali lagi sebagai juri bersama Zoey Rahman untuk menilai potensi bisnes peserta SUPERINTIS USANITA KOOL 101. 

Juara bagi kategori F&B dimenangi oleh seorang pengusaha Gallitos Popcorn, Khairunnisa Khairul Anwar yang juga mempunyai jalan cerita penuh inspirasi.

“Khairunnisa seorang wanita yang tabah dengan mengharungi pelbagai cabaran hidup termasuk kehilangan suami, dan untuk meneruskan kehidupan, beliau bangkit menerusi perniagaan popcorn yang dikeluarkan dalam pelbagai perisa.

“Idea-ideanya untuk popcorn sangat menarik termasuk cara pembungkusan yang praktikal dan tampak sesuai untuk pasaran yang lebih luas,” kata Datuk Adzliana yang turut memasukkan kedua-dua juara ini sebagai wajah baru Perintis Usanita. 

Selaku juara SUPERINTIS USANITA KOOL 101 musim pertama, Nad dan Khairunnisa masing-masing membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM20,000 seorang.

Program SUPERINTIS USANITA KOOL 101 adalah idea Datuk Adzliana untuk memberi peluang kepada usahawan mengembangkan lagi bisnes mereka baik dari aspek penghasilan produk, pembungkusan, pemasaran mahupun penjenamaan.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, Postcode Kuala Lumpur Country