PENGURUSAN MENTAL USAHAWAN DALAM BOOTCAMP 3.0

September 10th, 2023 / Artikel Perintis Usanita

TIDAK hanya ilmu pentadbiran, ilmu perakaunan atau ilmu pemasaran, mereka yang terlibat di dalam dunia perniagaan juga perlu bersedia dari aspek pengurusan mental kerana ia memainkan peranan yang amat penting terutama ketika seseorang membuat keputusan. 

Inilah antara intipati Bootcamp 3.0 Perintis Usanita yang diadakan pada 8 hingga 10 September lalu di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur. 

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datuk Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan selaku penganjur program, pengurusan mental sangat penting untuk seseorang usahawan dan ilmu ini jarang diketengahkan di dalam seminar keusahawanan. 

“Pengurusan mental penting untuk seseorang usahawan. Tambahan hari ini, kita banyak dengar tentang permasalahan mental yang berlaku dalam masyarakat. Mental di sini bukan gila atau tidak waras tetapi lebih kepada menguruskannya ke arah yang lebih jitu. 

“Sebagai salah seorang speaker untuk Bootcamp 3.0, perkongsian Daie Izzhar amat berguna sebagai persediaan untuk seseorang usahawan, bukan sahaja ketika membuat keputusan untuk bisnes tetapi juga buat diri sendiri.

“Mental seorang usahawan perlu kuat kerana cabaran orang berniaga sangat besar,” kata Datuk Adzliana.

Selain Daie Izzhar, Bootcamp 3.0 turut menampilkan perkongsian daripada pakar pemasaran terkenal, Sifu Jamal, Datuk Rosyam Nor, Datuk Faridah Hanim, Dr Soo Wincci, Awal Ashaari, Zoey Rahman dan Datuk Adzliana sendiri.

Program yang memasuki sesi ketiga ini membuka peluang kepada para usahawan untuk mendalami seni pemasaran daripada master dalam industri.

“Bezanya Bootcamp 3.0 dengan siri 1.0 dan 2.0 ialah permainan seni pemasaran itu sendiri kerana usahawan sedia maklum yang teknik pemasaran telah berubah selari dengan perubahan gaya hidup masyarakat serta algoritma platform digital media sosial hari ini. 

“Mereka perlu peka dan cepat bertindak seiring perubahan algoritma itu,” katanya. 

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, Postcode Kuala Lumpur Country