PESERTA PROGRAM PERINTIS USANITA MERIAHKAN RERUAI DI ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA

August 19th, 2022 / Perintis Usanita

SEBAGAI badan pemudah cara, Usanita Sdn Bhd tidak pernah melepaskan keprihatinannya terhadap usahawan-usahawan di bawah program anjuran syarikatnya dengan membuka ‘pintu rezeki’ semampu mungkin untuk mereka. 

Terbaru, empat usahawan dipilih menyertai program Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia di Stadium Malawati, Shah Alam pada 19 hingga 21 Ogos lalu. Keempat-empat usahawan terbabit juga sedang mengikuti program Perintis Usanita yang sedang hangat dijalankan oleh Usanita sekarang. 

“Untuk permulaan, kami memilih empat daripada 50 usahawan dalam Perintis Usanita untuk mengisi dan berjualan di reruai Usanita Sdn Bhd secara percuma. Usanita menyediakan tiga reruai untuk mereka sepanjang tiga hari tersebut. 

“Pemilihan para usahawan dibuat secara giliran bagi memberi peluang sama rata kepada mereka kerana siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia akan bergerak dari satu venue ke satu venue dan selepas ini akan diadakan di Sepang, Selangor,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan.

Empat usahawan yang beraksi di Stadium Malawati baru-baru ini ialah Nasyrah Hanim dari Chemilan (MGR Malaysia Sdn Bhd), Mohamad Anif Azami (Aducktive Food Sdn Bhd), Wan Mohd Firdaus Samingan (Perusahaan Azan Sdn Bhd) dan Shahroz Annaz Abdul Nasir - Syilis Syiliscious Ent.

Reruai Usanita sering meriah dengan kehadiran pengunjung termasuk sokongan daripada golongan VIP seperti Ketua Setiausaha Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Dato’ Suriani Dato’ Ahmad.

Turut singgah di reruai Usanita ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kanan Jabatan Perdana Menteri, Dato’ Sollehuddin Alyubi Zakaria; Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Kebajikan Negara, Puan Nordina Haron; Ketua Pengarah Jabatan Komunikasi Komuniti (J-KOM), Dato’ Dr Zuraidi Ishak dan Pengarah Eksekutif Unit Penyampaian Kemakmuran Bersama (Sepadu), Wan Azilawati Wan Mahmood.

“Penyertaan Usanita di dalam siri Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia ini adalah inisiatif kami untuk terus menaikkan jenama Usanita Sdn Bhd dan kami pernah menyertai program ini ketika pelancaran di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur pada Disember 2021,” kata Datin Adzliana.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, Postcode Kuala Lumpur Country