TYT MELAKA SOKONG USANITA PERKASAKAN USAHAWAN BUMI HANG TUAH

February 10th, 2023 / Artikel Kunjung Hormat

HASRAT Usanita Sdn Bhd untuk melebarluaskan khidmat dan pengaruhnya ke seluruh negara makin menjadi kenyataan selepas membuat kunjung hormat ke atas Tun Yang Terutama (TYT) Tun Seri Setia (Dr.) Haji Mohd Alin b Rustam di Ayer Keroh, Melaka baru-baru ini. 

Kunjung hormat berkenaan bukan sekadar merapatkan jalinan ukhuwah di antara dua pihak, malah pertemuan hampir 2 jam itu turut mengisi perkongsian serta perancangan untuk merancakkan pembangunan ekonomi rakyat bumi Hang Tuah itu. 

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan menyifatkan pertemuan Usanita dan TYT itu bagaikan permulaan yang baik untuk tahun 2023. 

“TYT dan kerajaan negeri amat menyokong hasrat Usanita untuk memperkasakan usahawan-usahawan kategori B40 dan M40 di negeri Melaka, dan ini berita baik buat para usahawan untuk lebih bersedia mendepani cabaran semasa di dalam dunia perniagaan. 

“Saya juga berterimakasih kepada Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Melaka, Yang Berbahagia Datuk Dira Datuk Seri Abu Zahar yang turut sama menyatakan sokongan terhadap Usanita dalam memperkasakan kaum Hawa.

“Di pihak Usanita sendiri sudah tentu telah bersedia dengan pelbagai program, termasuk program sedia ada yang akan ditambahbaik dari semasa ke semasa untuk dilaksanakan di seluruh negeri Melaka. 

“Program Master Click misalnya akan dikembangkan untuk edisi khas Melaka serta karnival keusahawanan besar-besaran dengan kerjasama rakan-rakan strategik Usanita serta syarikat-syarikat ternama seperti Adabi,” kata Datin Seri Adzliana. 

Katanya lagi, cadangan-cadangan ini menarik perhatian TYT yang melihat impak kebaikannya buat usahawan Melaka khasnya dan seluruh negeri Melaka amnya. 

“Yang menariknya ketika pertemuan kunjung hormat itu, TYT turut menyatakan tentang bunga kesidang yang menjadi bunga negeri Melaka dan insya-Allah, Usanita akan usahakan program dan acara yang mampu mengangkat bunga kesidang yang berwarna putih itu,” kata Datin Seri Adzliana yang turut mempunyai butik busana Amber.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, Postcode Kuala Lumpur Country