USANITA MENYANTUNI RAKAN STRATEGIK DALAM RUMAH TERBUKA

May 17th, 2023 / Artikel Rakan Strategik

MAJLIS rumah terbuka Aidilfitri (open house) bukan sekadar menghidang lemang, ketupat dan rendang dan bukan hanya memperagakan baju baru kerana acara sebulan Syawal ini lebih daripada itu terutama merapatkan ukhuwah dan mengeratkan lagi silaturahim. 

Syarikat pemudahcara, Usanita Sdn Bhd antara yang tidak ketinggalan meraikan kenalan, rakan strategik, Perintis Usanita, rakan usahaniaga, wakil-wakil kementerian, rakan media serta mereka yang banyak mendokong meletakkan Usanita ke tahap hari ini di dalam majlis Rumah Terbuka Usanita 2023 pada 17 Mei lalu. 

Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan berkata, kesempatan meraikan Syawal adalah antara waktu terbaik untuk merapatkan lagi hubungan sesama rakan taulan dan mereka yang terbabit dalam membangunkan Usanita. 

“Melihat kehadiran tetamu hari ini, saya secara peribadi berasa bangga dengan pencapaian Usanita Sdn Bhd yang semakin dipandang tinggi dalam usahanya memperkasakan golongan usahawan terutama dari kalangan B40 dan M40 yang terkesan oleh pandemik Covid-19 lalu. 

“Selama setahun kita bekerjasama, hari ini (rumah terbuka) adalah hari untuk Usanita mengucapkan terima kasih dan menghargai tetamu,” kata Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan.

Bertempat di ballroom Hotel Pullman Kuala Lumpur, majlis Rumah Terbuka Usanita 2023 ini dihadiri lebih 400 tetamu yang tidak putus datang sejak acara dimulakan seawal jam 4 petang hingga berlarutan ke jam 11 malam. 

Antara yang hadir pada majlis penuh makna itu ialah bekas Perdana Menteri, Dato’ Sri Ismail Yaakob, Datuk Rosyam Nor, Dato Chef Zamzani serta wakil-wakil media. Tetamu dihiburkan dengan persembahan mantap oleh Hael Husaini, Idayu dan Nabila Razali, manakala Awal Ashaari dan Zoey Rahman bertindak selaku pengacara majlis. 

Di samping menu sedap dari dapur Hotel Pullman, Rumah Terbuka Usanita 2023 ini turut dimeriahkan lagi dengan rakan strategik baru Usanita Sdn Bhd iaitu The Great Coffee Club yang menawarkan rangkaian minuman kopi premium serta aiskrim yogurt, Hello. Masing-masing membuka kiosk mini bagi memperkenalkan produk mereka kepada tetamu.

Tidak hanya melayan tetamu, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan menjadi orang paling sibuk apabila pihak media turut mengerumuninya untuk bertanyakan tentang perkembangan Usanita Sdn Bhd bagi suku ketiga 2023.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, Postcode Kuala Lumpur Country