USANITA-UKM-EWA JALIN KERJASAMA

February 15th, 2023 / Artikel Rakan Strategik

TIDAK hanya memfokuskan kepada pembangunan usahawan bagi golongan B40, Usanita Sdn Bhd turut mengembangkan skop keusahawanan ke dalam kalangan wanita dan pelajar, sesuai dengan hasrat syarikat pemudahcara itu untuk memperkasakan kebolehpasaran kedua-dua komuniti terbabit. 

Justeru itu, tanggal 15 Februari lalu, Usanita yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan menjalinkan kerjasama dengan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan e-Entrepreneurs Women Association Malaysia (EWA) bagi memperkasakan ekonomi dalam kalangan usahawan wanita dan pelajar.

Majlis menandatangani Surat Hasrat diwakili Fakulti Ekonomi & Pengurusan dan EWA itu akan bertindak sebagai rangka kerja am bagi aktiviti-aktiviti dan program yang bakal dijalankan.

“Menjadi hasrat kami di Usanita Sdn Bhd untuk memperkasakan kebolehpasaran wanita dan pelajar dalam sektor keusahawanan dengan melengkapkan mereka kemahiran-kemahiran yang diperlukan dalam industri.

“Program kolaborasi antara Usanita, UKM dan EWA Malaysia ini akan tertumpu pada pembangunan dari sudut kemahiran, kebolehan, kreativiti serta inovasi. Ia merupakan perkara yang terkandung dalam aspek modal insan di samping aspek daya saing yang dilihat penting dalam kejayaan usahawan,” kata Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan.

Menurutnya, dengan penglibatan dan usahasama UKM dan EWA, kolaborasi ini dapat menjadi semakin besar dan memanfaatkan lebih ramai orang terutamanya pelajar- pelajar UKM dan usahawan- usahawan yang menyertai EWA.

“Rakan- rakan strategik Usanita juga terdiri dalam kalangan selebriti, jadi kami harap program- program kami  secara tidak langsung akan memberi suntikan kepada mereka dalam melonjakkan jualan, perniagaan serta cetusan idea yang kreatif dan inovatif dalam industri keusahawanan,” katanya.

Majlis menandatangani Surat Hasrat yang diadakan di Canselori UKM Bangi itu turut dihadiri Dekan Fakulti Ekonomi & Pengurusan UKM merangkap Presiden EWA, Profesor Dr Aini Aman dan Setiausaha EWA Malaysia, Dr Azlina Asaari.

Profesor Dr Aini Aman menzahirkan rasa gembira kerana dapat menjalinkan kerjasama bersama Usanita dan berharap usahasama ini akan membangunkan kemahiran pelajar ke arah yang lebih berkualiti tinggi dan mempunyai minda keusahawanan kelas pertama seterusnya menyumbang kepada peningkatan kebolehpasaran mereka khususnya dalam bidang keusahawanan.

“Bila bekerjasama dengan Usanita ini, kami berharap minat mereka (para pelajar dan usahawan wanita EWA) akan terpupuk dan mereka akan lebih terdedah kepada peluang kerjaya dalam bidang keusahawanan.

“Kerjasama Usanita dan UKM ini boleh menjadi platform yang sangat baik kepada pelajar bidang keusahawanan di mana kerjasama ini dapat menyumbang kepada pembangunan negara bagi mencapai aspirasi menjadi negara keusahawanan unggul menjelang 2030,” katanya.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, Postcode Kuala Lumpur Country