WANITA DAN PERNIAGAAN DALAM MASTERCLASS BULETIN FM X USANITA

June 14th, 2023 / Artikel

WANITA dan perniagaan bukan lagi perkara asing, malah sudah ramai golongan Hawa yang mencipta nama sebagai ahli perniagaan berjaya.

Bagaimanapun topik ini masih menjadi bualan dalam kalangan masyarakat hingga masih lagi ada yang takut-takut untuk terjun ke dunia bisnes, sedangkan pelbagai platform dan infrastruktur disediakan pelbagai pihak.

Topik ini juga dibincangkan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan; Datuk Rosyam Nor dan usahawan selebriti, Mila Jirin dalam program Masterclass Buletin FM x Usanita Sdn Bhd - Wanita dan Perniagaan yang diadakan 4 Jun lalu. 

Di dalam program yang disiarkan secara ‘live’ menerusi Facebook Buletin FM dan Audio+, topik ini tetap menarik untuk diperdebatkan sebagai wacana pendedahan kepada pendengar frekuensi radio berkenaan khususnya wanita yang teringin untuk bergelar usahawan serta menambah pendapatan. 

“Topik Wanita dan Perniagaan ini dipilih sebagai pembuka Masterclass Buletin FM x Usanita bagi musim ketiga dan tidak salah untuk kami memperkatakan isu ini semula kerana daripada pengamatan saya selaku orang yang banyak bergaul dengan bangsa usahawan, ada rasa bimbang mereka untuk bersaing di dalam dunia bisnes. 

“Malah ramai juga dalam kalangan surirumah yang berasa rendah diri untuk terlibat di dalam dunia perniagaan dan mereka tidak perlu rasa kecil sebab sudah banyak terbukti bisnes yang besar hari ini bermula di dapur rumah mereka.

“Sebab itu topik ini penting untuk kami di Usanita terus memberikan pendedahan kepada pendengar di luar sana tentang perniagaan dan wanita, dan mereka tidak perlu takut kerana hari ini terlalu banyak kemudahan perniagaan yang disediakan pihak kerajaan atau bukan kerajaan,” kata datin seri Adzliana. 

Katanya lagi, Mila Jirin antara ahli perniagaan wanita yang boleh dijadikan contoh terbaik untuk golongan Hawa jadikan kayu ukuran.

“Nama Mila memang terkenal tetapi perlu diingat, beliau juga seorang ibu dan seorang isteri. Perkongsiannya di dalam program Masterclass ini sangat bermanfaat untuk menggalakkan kaum wanita menyertai perniagaan,” katanya.

Logo
No 15-2, Tingkat, 2 Jalan Wangsa Delima 13, Pusat Bandar Wangsa Maju, Postcode Kuala Lumpur Country