DARI TAPAK NIAGA BERALIH KE PLATFORM DIGITAL

Pandemik Covid-19 benar-benar merubah cuaca bisnes. Ramai terkesan hingga terpaksa menutup penuh operasi. Namun bagi yang kuat semangat dan berani menukar serta menyesuaikan bisnes dengan keadaan semasa, mungkin mampu bertahan.

Sama juga dengan pengusaha trak makanan di Putrajaya, Siti Rafitah Rakhimi. Daripada berniaga di tapak niaga di Presint 14, kini wanita berusia 37 tahun ini beralih kepada perniagaan secara online. Siti Rafitah menjual piza jenama sendiri, Alla Piccola Italia (API).

Ketika membaca kisahnya di Bernama, USANITA kagum dengan semangat juang usahawan ini yang tidak tunduk kepada pandemik. Beliau boleh dijadikan teladan kepada wanita-wanita lain supaya tidak bergantung kepada cara kebiasaan sebelum ini.

Perniagaan online sangat efisien hari ini. Dengan kebimbangan masyarakat untuk berada dalam khalayak ramai dan dengan sekatan pergerakan PKP oleh pemerintah, membolehkan bisnes secara digital ini berkembang pesat dan cepat.

“Ada rakan peniaga kini terpaksa melakukan kerja lain termasuk menjadi pemandu e-hailing. Pada ketika ini, bukan lagi isu keuntungan yang diutamakan, sebaliknya memastikan perniagaan itu mampu bertahan,” kata Siti Rafitah.

Bagi peniaga wanita di luar sana, rajin-rajinlah meneroka gelanggang digital untuk memasarkan produk anda. Pihak kerajaan juga banyak membantu membuka peluang untuk usahawan mengembangkan bisnes mereka menerusi pendigitalan.

Rajin-rajin juga melihat portal dan mengikuti perkembangan semasa pengumuman pemerintah dalam membantu para usahawan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *