Usanita

MASA UNTUK DATIN NANA MEMBERI SEMULA KEPADA KOMUNITI MENERUSI USANITA

DATIN ADZLIANA DATO PROF SRI HASAN

PERJALANAN kariernya sebagai ahli perniagaan mungkin nampak mudah pada mata kasar, apatah lagi lahir daripada keluarga bisnes. Sebaik tamat pengajian Ijazah Perniagaan Antarabangsa di Multimedia University pada 2006, beliau terus bekerja di dalam syarikat ayahnya. 

Bagaimanapun itu tidak bererti beliau ‘goyang kaki’, sebaliknya mempunyai ayah yang tinggi disiplin perniagaan, membuatkan Datin Adzliana Dato Sri Dr Hasan bermula dari bawah mempelajari selok-belok dunia bisnes sebenar. 

“Ayah saya menguruskan perniagaan berkaitan bidang keselamatan dan ia bukan bidang yang mudah untuk saya fahami pada awalnya. Susahnya bukan main, apatah lagi sebagai seorang wanita tetapi ia bukan halangan untuk saya buktikan kepada keluarga yang saya juga mampu melakukannya.

“Ya saya juga mahu buktikan pada diri sendiri yang mampu untuk berdiri sama dengan bisnes ini yang rata-rata dimonopoli lelaki. Alhamdulillah ia bertahan sehingga kini kerana saya sangat komited dan memahami yang diperlukan dalam pasaran keselamatan. 

“Sebagai wanita yang sukakan kecantikan, saya tidak mahu lepaskan bisnes berkaitan minat saya itu dan pada 2008, saya membuka butik dan salon kecantikan Nana Bridal Boutique yang masih bertahan sehingga hari ini,” katanya. 

Menurut wanita yang mesra disapa Nana ini, kedua-dua bisnes tersebut berjalan seiring bersama beberapa lagi bisnes yang diwujudkan sepanjang membina empayar perniagaannya bersama keluarga. 

Jatuh bangun adalah lumrah dunia perniagaan tetapi katanya, bidang keselamatan antara paling ‘tough’ kerana saingannya bukan kecil-kecil anak. Untuk terus kekal dan relevan dalam industri, Nana harus sentiasa mencari peluang dan memberi perkhidmatan terbaik. 

Selepas 14 tahun di dalam dunia bisnes, katanya, sudah tiba masa untuknya berbakti kepada masyarakat. Pengalamannya yang luas mengendalikan urusniaga dalam dan luar negara dijadikan senjata paling ampuh untuk membantu para usahawan muda khasnya wanita. 

Melalui pengamatannya di dalam dunia perniagaan, Nana sedar semakin ramai anak muda yang mencuba nasib untuk berniaga. Bagaimanapun katanya, majoritinya gagal walaupun belum separuh jalan. 

“Bisnes nampak mudah tetapi ia bukan semudah yang dilihat. Apabila kita melihat orang berjaya, kita juga mahu menjadi seperti orang itu tetapi kita tidak mahu melalui kesusahan seperti yang dilaluinya. 

“Sebenarnya ia boleh dilakukan andai kita mempunyai ilmu atau kebolehan dan semuanya bagi saya mampu dicapai sekiranya kita tahu cara untuk berniaga dengan betul. 

“Justeru itu, melalui Usanita Sdn Bhd, saya ingin mengajak seramai mungkin kaum wanita yang berminat dalam bisnes untuk sama-sama berniaga di bawah satu bumbung secara kolaborasi. 

USANITA adalah pemudahcara atau pengantara di antara usahawan dengan pihak kerajaan atau badan-badan berkaitan keusahawanan. USANITA cuba membantu mendekatkan usahawan yang memerlukan bantuan atau mereka yang berminat untuk berniaga dengan badan-badan tersebut.

“Melalui pengalaman, saya perasan ramai kalangan peniaga terutama industri kecil dan sederhana tidak tahu malah malu untuk mendekati pihak kerajaan sedangkan mereka sedia membantu. Bagaimanapun mesti ada caranya seperti kertas kerja, objektif yang jelas serta dokumen yang tepat untuk diajukan kepada pihak yang ingin menolong,” katanya. 

 

Dalam pada itu, wanita cekal berusia 39 tahun ini bakal melancarkan koleksi pakaian sendiri di bawah jenama Amber tidak lama lagi. Pelancaran jenama ini sebagai kesinambungan usahanya sebelum ini yang berpengalaman luas menguruskan butik pengantin dan salon.

 

Dalam usaha berkongsi ilmu bisnes secara menyeluruh di samping memperkukuhkan jenama, USANITA berkolaborasi dengan Ideaktiv, Astro Prima dan Majalah Nona menerbitkan program realiti usahawan wanita pertama, PENCARIAN NONA SUPERWOMAN yang bakal bersiaran mulai September 2021. 

 

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *