Usanita

PENCARIAN NONA SUPERWOMAN

SELARI dengan format anugerah pengiktirafan Nona Superwoman Award yang berlangsung pada tahun 2018 dan 2020, penerbit Nu Ideaktiv Sdn Bhd menyasarkan golongan wanita khususnya usahawan yang mampu menjadi inspirasi kepada wanita lain.

Menawarkan hadiah lumayan bernilai RM 50,000.00, program realiti TV yang diperkasakan oleh USANITA pimpinan Ketua Pegawai Eksekutif, Datin Adzliana Dato Sri Hasan ini dicetuskan bagi membantu kaum wanita yang terjejas ekonomi akibat pandemik COVID-19.

Niat USANITA untuk menjadi platform alternatif kepada usahawan wanita terutamanya dari kategori B40 bagi mengembangkan bisnes mereka dilihat selari dengan niat Majalah Nona dalam memperkasakan ekonomi wanita Malaysia.

USANITA PERKASAKAN PENCARIAN NONA SUPERWOMAN

SEJAK awal Januari lalu, kami membentang dan meneliti idea. Pelbagai ilham dibangkitkan oleh para peneraju USANITA. Semuanya demi kebaikan ahli dan kebajikan audien sasaran kami. Sasaran kami, B40 dan M40 terutama yang terjejas dek pandemik maut Covid-19.

Dan salah satu doa kami didengariNya, yang akhirnya mempertemukan Nona, majalah wanita terulung terbitan Karangkraf. Kebetulan Nona menerusi Editor Pengurusannya, Kiffy Razak sedang merangka sebuah program pencarian usahawan wanita.

Lalu pertemuan demi pertemuan untuk perbincangan demi memastikan misi dan visi USANITA selari dengan program tersebut. Kata sepakat termeterai April lalu untuk kami sama-sama merealisasikan program realiti PENCARIAN NONA SUPERWOMAN.

Kami di USANITA sangat berbesar hati untuk turut sama berkolaborasi. Bukan hanya dipancarkan di platform digital Nona dan Karangkraf, malah pencarian ini diperluaskan lagi menerusi tayangan di Astro Prima. InsyaAllah Julai 2021.

Program lapan episod ini memaparkan sembilan peserta yang dipilih daripada pelbagai latar hidup, ekonomi dan status dari seluruh negara. Terbuka kepada golongan wanita sahaja terutama yang mempunyai bisnes dan terkesan dek pandemik Covid-19. Ada lagi syarat-syarat yang ditetapkan Ideaktiv dan penerbitan Astro Prima, sila lihat ini:

Biarpun ini usaha mega pertama USANITA, kami sangat berharap program ini dapat memberi manfaat kepada semua pihak. Bukan hanya untuk peserta, bahkan penonton Pencarian Nona Superwoman. Ilmu-ilmu yang dikongsi oleh para juri jemputan berpengalaman dalam bidang masing-masing, mampu dijadikan teladan serta sempadan.

Sebagai sebuah syarikat perundingan bisnes dan pengurusan acara, USANITA sentiasa memastikan setiap usaha yang dilaksanakan berupaya memberi kebaikan.

NAK YANG MANA – RM50,000 ATAU ILMU BISNES?

“BUKAN hadiah wang tunai RM50,000 yang jadi rebutan utama, sebaliknya ilmu serta tip tentang bisnes lebih penting untuk setiap usahawan atau wanita B40 jadikan pemangkin dalam meneruskan bisnes ketika berdepan pandemik Covid-19.”

Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datin Adzliana Dato’ Seri Dr Hasan memberi kata dua kepada calon-calon peserta Pencarian Nona Superwoman yang akan bersiaran di Astro Prima mulai Julai 2021.

“Saya sedar, wang tunai sangat penting dalam keadaan genting sekarang tetapi secara peribadi, saya melihat kepentingan ilmu itu sebagai keutamaan. Duit, lama kelamaan boleh habis tetapi dengan ilmu, kita boleh jadikan modal untuk mengembangkan bisnes.

“Sebab itu, di dalam Pencarian Nona Superwoman saya utamakan ilmu yang akan dikongsikan oleh para juri jemputan berpengalaman. Saya mahukan setiap peserta, malah penonton nanti dapat belajar sesuatu yang berguna untuk bisnes dan kehidupan masing-masing.

“Saya dan USANITA, hanya membantu sedaya mampu terutama dalam memberi tunjuk ajar membina jajaran bisnes yang lebih baik, sesuai waktu pandemik begini,” kata Datin Adzliana yang dianugerahkan Nona Best Strategic Business Thinker di Nona Superwoman Award 2020.

Menurut beliau, program Pencarian Nona Superwoman ini tidak akan terlaksana pada skala besar begini sekiranya tiada kerjasama daripada pihak Karangkraf dan Astro.

Bagaimanapun hadiah RM50,000 adalah sebuah suntikan semangat untuk para peserta memberi yang terbaik sepanjang program dijalankan.

KEMPEN PENCARIAN SEMAKIN RANCAK

DALAM merancakkan kempen Pencarian Nona Superwoman, kami di USANITA juga turun ke studio untuk sesi fotografi seperti yang dilakukan di Blackpepper Studio baru-baru ini. Opsss, SOP sangat ketat sepanjang sesi ini.

Foto-foto ini akan digunakan untuk kempen termasuk beberapa billboard sekitar Selangor dan Kuala Lumpur.