
SELAMA lebih 15 tahun bermain di dalam industri fesyen dan keusahawanan, pereka terkenal negara Rizman Nordin dari Rizman Ruzaini Couture sudah alah bisa tegal biasa. Sudah mampu mendepani cabaran dengan senyuman.
Era pandemik Covid-19 turut ‘melukakan’ bisnes fesyen tetapi Rizman dan rakan niaganya, Wan Ruzaini Wan Jamil tidak duduk diam sebaliknya mencari alternatif mengeluarkan produk essentials termasuk mask muka. Malah produk kecantikan yang diusahakan sebelum pandemik juga mendapat sambutan baik.
Ketika menjadi panel jemputan di dalam webinar bersama Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datin Adzliana Prof Dato Sri Dr Hasan penghujung September lalu, Rizman berkongsi beberapa tip melalui pengalamannya yang boleh digunapakai untuk usahawan baru. Antaranya:
- Matlamat – usahawan perlu ada matlamat apabila menghasilkan produk. Mesti persoalkan 5W 1H terhadap keperluan setiap produk. 5W 1H (Who, What, Why, Where, When dan How).
- Perancangan – perlu ada pelan A, B, C.
- Sasaran – tentukan siapa sasaran produk yang dikeluarkan. Produk harus spesifik dengan bakal pelanggan.
- Platform – lokasi yang boleh dicapai oleh pembeli, contohnya di era pandemik, platform online adalah jalan terbaik.
- Kesesuaian – apakah produk anda sesuai dengan keadaan pasaran?
- Struktur syarikat – tidak boleh buat secara sendirian. Perlu ada team untuk agih-agihkan kerja.
- Kualiti – produk mesti yang bermutu dan bila produk baik, orang akan bercakap. Pemasaran dari mulut ke mulut tetap publisiti terbaik dan percuma.
- Pelanggan – ‘customer always right’ dipegang hingga kini, perlu jujur bila berniaga. Pulang balik wang jika pelanggan tidak puas hati.
- Pekakkan telinga dengan khabar negatif dan teruskan kerja kita. ‘You say no, I say next’.
- Self control – sebagai ketua, jangan mudah melatah dengan kritikan atau apa orang kata.