LINDA ROOS SERAP KEHEBATAN IBU DI DALAM BISNES HIASAN DINDING

LINDA ROOS gunakan ilmu di dalam Pencarian Nona Superwoman untuk kembangkan bisnes.

IBU menjadi inspirasi utama Linda Roos membina empayar perniagaan. Bagaimanapun sebelum terjun secara serius, beliau terlebih dahulu bersedia dengan bekal ilmu yang dianggap paling penting untuk memulakan langkah.

“Saya menjadi saksi melihat kehebatan mama dalam dunia keusahawanan dan beliau selalu berpesan, dunia bisnes tanpa ilmu dan keberanian tidak akan menjadikan kita berjaya dalam apa yang kita ingin lakukan,” katanya.

Darah bisnes daripada ibu bapanya, mengalir laju di dalam tubuhnya. Kedua-dua orang tuanya mempunyai perniagaan sendiri, masing-masing di dalam industri pembangunan perumahan dan perniagaan hiasan dalaman.

Menjadi impiannya sejak di bangku sekolah lagi untuk mempunyai perusahaan sendiri dan berbekalkan bakat melukis, ceritanya, beliau melukis karakter Sailormoon dan Dragon Ball dijadikan poster untuk dijual.

Linda Roos adalah antara 12 finalis terpilih Pencarian Nona Superwoman yang sedang ditayangkan di Astro Prima setiap Rabu, jam 9 malam. Program TV realiti keusahawanan ini diperkasakan oleh USANITA.

“Saya pegang hasrat untuk terjun ke dunia perniagaan dan menjadi usahawan sehingga saya benar-benar yakin. Dengan ilmu yang dipelajari serta pengalaman di dalam industri ini, baru saya berani membuka perniagaan sendirian berhad pada usia 26 tahun.

“Saya memilih produk hiasan dinding sebagai cabang bisnes kerana hasil daripada rujukan pasaran dan tinjauan saya, rata-rata orang sekarang mengabadikan foto istimewa mereka hanya di platform media sosial sahaja,” kata ibu kepada tiga cahayamata ini dalam satu temubual bersama majalah Nona.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *