GELARAN JUARA PENCARIAN NONA SUPERWOMAN, SATU TANGGUNGJAWAB BESAR: FAZS FAOZI

FAZS FAOZI JUARA PERTAMA PENCARIAN NONA SUPERWOMAN.

“ALHAMDULILLAH dan terima kasih USANITA dan Nona di atas penganjuran ini. Menang kalah, itu soal kedua kerana saya bertuah berada di platform ini yang sangat membantu saya dari segi pembangunan diri untuk kembali bangkit meneruskan perniagaan.

“Kehadiran program Pencarian Nona Superwoman tepat waktunya ketika saya terkapai-kapai selepas perniagaan saya merudum akibat pandemik. Malah saya hampir berputus asa untuk tidak lagi berniaga tetapi program ini bagaikan memberi ‘nyawa’ baru untuk saya,” kata juara Pencarian Nona Superwoman 2021, Norfazlina Mohd Faozi.

Wanita berusia 35 tahun ini yang dikenali sebagai Fazs Faozi menyifatkan pemilihannya sebagai juara pertama adalah satu suntikan semangat untuk terus mengorak langkah meneroka bidang perniagaan kosmetik dan membangunkan jenama Fazsbeauty setanding jenama besar yang sedia ada di pasaran.

“Kemenangan ini juga bermakna satu tanggungjawab berat untuk saya terus kekal bersaing di dalam industri. Saya mengharapkan kemenangan ini dapat memberi inspirasi kepada usahawan-usahawan yang turut terjejas kerana pandemik supaya kekal bertahan dan bersemangat,” katanya yang akan terus berada di bawah bimbingan USANITA.

SYU RAMLI PERKENALKAN PRODUK WOW SAMBEL.

Fazs membawa pulang wang tunai RM50,000 dan trofi.

Tempat kedua atau gelaran Most Inspiring pula dimenangi oleh usahawan Wow Sambel, Syu Ramli dengan membawa pulang RM10,000 dan trofi. Manakala tempat ketika dengan gelaran Most Favourite, dimenangi oleh pengusaha bakeri, Ana Najia turut menerima wang RM10,000 serta trofi.

ANA NAJIA SEBAGAI FINALIS PILIHAN MOST FAVOURITE PENCARIAN NONA SUPERWOMAN.

Turut hadir, Menteri Pembangunan Wanita Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), Datuk Seri Rina Mohd Harun dan isteri Menteri Besar Selangor, Datin Seri Masdiana Muhamad.

Grand Finale Pencarian Nona Superwoman dipancarkan secara langsung menerusi Astro Prima dari Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya, 10 November lalu.

Program ini diperkasakan oleh USANITA SDN BHD di bawah teraju pimpinan Datin Adzliana Prof Dato Sri Dr Hasan.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *