Usanita

BANJIR MENGHANYUTKAN PERBEZAAN, MEMBANGKITKAN PERSAMAAN ANTARA KELUARGA MALAYSIA

KETIKA air sungai dan hujan melimpah masuk ke dalam rumah mangsa, negara gempar dengan banjir di enam negeri. Gempar kerana banjir mengejut dan besar begini sudah lama tidak berlaku di negara kita.

Paparan media sosial mengenai mangsa yang terpaksa duduk di atas bumbung rumah, lari ke tempat yang lebih tinggi dan kecohnya mangsa-mangsa yang cuba menyelamatkan nyawa serta harta benda, membuatkan warganegara tidak senang duduk jika hanya memandang sahaja.

Misi bantuan daripada orang perseorangan dan NGO deras dihantar untuk menyelamatkan mangsa. Baik dari utara, selatan mahupun timur berduyun-duyun menuju ke lokasi-lokasi yang terjejas teruk. Selangor, Pahang dan Melaka antaranya yang mengalami banjir lumpur.

Hingga hari ini bantuan makanan dan keperluan terus dikirim, yang jauh menderma ke tabung dan kini pasca banjir, beramai-ramai Keluarga Malaysia turun membersihkan rumah mangsa.

Usanita melihat ini sebagai kemanisan di dalam kepahitan. Kalau tidak kerana musibah ini, penyatuan kita tanpa mengira warna kulit, kepercayaan dan pegangan mungkin tidak segagah yang kita lihat sekarang.

Bangsa Malaysia sekaligus telah membuktikan kepada dunia yang kita negara yang suatu bangsa murni. Walaupun ada ketika antara kita bertelagah pandangan tentang politik atau pendapat, namun banjir ini menghanyutkan semua perbezaan itu dan membangkitkan kesatuan yang sukar digambarkan.

Kisah tular kaum India mencuci masjid dan penganut Islam membersihkan kuil antara kemanisan yang tercipta. Tiada jurang agama dan percaya antara kita kerana tujuan utama kita adalah membantu membersihkan kembali negara. Tidak kurang juga ‘Abang Viva’ yang berbekalkan RM50 dari Melaka ke Selangor menyelamatkan mangsa. Itu antara yang tular.

Malah ketika Usanita dalam misi menghulur bantuan di beberapa lokasi termasuk di Dengkil, Sepang, Bangi Lama, Lanchang, Hulu Beranang dan Semenyih minggu lalu, penyatuan ini jelas. Tiada beza sama ada mangsa bukan warganegara Malaysia sekalipun, mereka tetap manusia yang harus dibantu. Mereka juga perlu hidup biarpun bukan di bumi kelahiran mereka. Baik warga Indonesia, Bangladesh mahupun Pakistan, mereka juga mangsa banjir yang harus ditolong.

Sehingga hari ini (27 Disember 2021), usaha membersihkan rumah dan barangan mangsa masih giat diteruskan baik oleh NGO, orang perseorangan mahupun pihak kerajaan. Sama-sama saling berganding bahu.

Secara metafora, Usanita melihat di sebalik kejadian banjir ini sebagai penyebab untuk memberitahu kepada dunia tentang kehebatan Bangsa Malaysia dan Keluarga Malaysia. Keharmonian sesama kita yang berbilang bangsa, kaum dan agama ini masih utuh. Perbezaan itu menyamakan kita

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *