Usanita

DATUK ROSYAM NOR PINJAMKAN NAMA UNTUK BANTU MENJENAMAKAN PRODUK USAHAWAN NEGARA

YB DATO’ SERI MAHDZIR BIN KHALID MELANCARKAN PERASMIAN PROGRAM PENJENAMAAN DAN PENDIGITALAN DISAKSIKAN OLEH YB DATO’ SRI HAJI ABDUL RAHMAN, DATIN ADZLIANA DAN DATUK ROSYAM NOR

BIARPUN rata-rata usahawan dan peniaga tahu akan pentingnya penjenamaan untuk memperkenalkan produk serta nama mereka di dalam industri, namun bukan semua yang mengambil cakna mengenainya.

Mungkin bagi mereka, usaha mengukuhkan jenama mengambil masa yang lama dan melibatkan kos yang tinggi. Usanita bagaimanapun tidak menafikan kenyataan itu dan disebabkan itu juga, Usanita sebagai badan pemudahcara mengambil inisiatif membantu dalam penjenamaan ini.

Tidak hanya penjenamaan, Usanita yang menyedari akan besarnya peranan platform digital, bakal menggunakan kemudahan teknologi hari ini dalam pengukuhan jenama produk-produk usahawan terpilih.

Bercakap mengenai penjenamaan, Datuk Rosyam Nor menyifatkan dalam kehidupan seharian kita harus mempunyai penjenamaan terutama bagi mereka yang terlibat di dalam perniagaan.

“Segala yang ada di dalam kehidupan ini mesti ada penjenamaan, apatah lagi bisnes. Bila kita datang dengan bisnes, tentunya kita mesti ada nama yang baik untuk sesebuah produk, syarikat mahupun individu perseorangan. Tanpa jenama, orang sukar kenal. Bagi saya, orang bisnes wajib ada penjenamaan yang kukuh dan sesuai dengan barangan yang diniagakan.

“Era digital sudah sampai klimaks kerana ia telah bermula sejak 1969. Kedatangan Covid-19 mengajar semua orang tentang erti kepayahan baik hidup mahupun bisnes tetapi di dalam yang sama ia mendidik tentang transformasi.

“Sebelum ini kita sangat kurang menggunakan digital online untuk perniagaan tetapi hari ini ia menjadi keutamaan. Sudah menjadi kewajipan untuk mereka mendigitalisasi bisnes kalau mahukan jualan melambung tinggi. Cara lama tidak salah tetapi kalau mahukan perniagaan yang efektif, gunalah digital,” kata Datuk Rosyam Nor ketika berucap di majlis pelancaran Perintis Usanita: Penjenamaan dan Pendigitalan di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur baru-baru ini.

Menurut usahawan selebriti itu, pendigitalan mampu menyebarkan kehadiran sesebuah produk di kawasan yang lebih luas, jauh dan melampaui sempadan.

“2021 adalah permulaan kepada 10 tahun mendatang, dan tahun 2022 sudah tangga masuk ke tahun kedua. Ini langkah yang harus diambil oleh usahawan untuk menjadikan perniagaan mereka dalam bentuk digital tanpa meninggalkan fizikal. Sehinggalah mereka selesa dengan digital, dan perlahan-lahan boleh tinggalkan fizikal,” katanya.

Seramai 50 usahawan dari seluruh negara dengan 50 produk akan dipilih untuk menyertai program yang dikuasakan oleh Kementerian Pembangunan Luar Bandar ini. Kriteria utama adalah usahawan di luar bandar dalam kategori B40 dan M40 yang terkesan dek pandemik Covid-19 baru-baru ini.

Nantikan perkembangan kami dari semasa ke semasa tentang program yang bakal bermula pada 2022.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *