
HARI ini (15 Disember 2021), USANITA SDN BHD dikunjungi 4 orang di belakang tabir team Suhan Channel bagi rakaman sebuah teaser video berkaitan program Perintis Usanita – Penjenamaan dan Pendigitalan. Projek ini diarahkan oleh Datuk Rosyam Nor yang juga bertindak sebagai moderator (penemubual).
Video berdurasi 6 hingga 8 minit ini berkonsepkan kepada wawancara yang melibatkan temubual di antara Datuk Rosyam Nor dengan Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datin Adzliana Dato Sri Dr Hasan serta pemenang Top 3 Pencarian Nona Superwoman iaitu Fazs Faozi, Ana Najia dan Syu Ramli.
Setiap seorang mempunyai latar cerita tersendiri tetapi berkisarkan perniagaan yang masing-masing sedang usahakan. Namun sebagai penaung USANITA, tanggungjawab Datin Adzliana lebih besar untuk memastikan program ini sampai kepada sasaran audiens di luar bandar.

“Top 3 adalah inspirasi baru kepada usahawan yang USANITA bawakan di mana saya melihat ketiga-tiga mereka ini pernah jatuh terduduk akibat pandemik Covid-19 tetapi kini bangkit kembali dengan semangat dan mindset yang berbeza.
“Benar kata orang, Covid-19 mengajar kita banyak perkara di dalam hidup dan perniagaan. Kita tidak boleh sentiasa berada di dalam zon selesa kerana keselesaan ada ketikanya melekakan kita. Sama juga di dalam bisnes, saya melihat ia sebagai ‘spark’ untuk usahawan kembali memikirkan strategi baru, malah bagi yang hilang punca pendapatan pula akan mencarinya menerusi perniagaan.
“Usahawan luar bandar ramai yang terjejas dan ia memberikan saya idea untuk membantu menaikkan penjenamaan dan jualan produk mereka. Alhamdulillah inisiatif ini mendapat sokongan baik daripada Kementerian Pembangunan Luar Bandar dan USANITA amat berterimakasih kepada menterinya, Dato’ Seri Mahdzir Khalid dengan kerjasama ini,” kata Datin Adzliana.
Video ini bakal ditayangkan menerusi saluran Youtube Suhan Channel yang pernah mencatat lebih 23 juta tontonan