Usanita

USANITA BANTU PENGUKUHAN JENAMA PRODUK USAHAWAN MENERUSI PROGRAM PENJENAMAAN DAN PENDIGITALAN BERSAMA KPLB

DATO’ SERI MAHDZIR KHALID BERAMAH MESRA DENGAN PESERTA SAMBIL DIPERHATIKAN OLEH DATIN ADZLIANA DAN DATUK ROSYAM NOR.

DI DALAM keadaan desakan ekonomi dunia hari ini ekoran pandemik Covid-19, sangat ramai yang terkesan terutama golongan B40 dan M40. Ruang kerja semakin sempit dan bukan sedikit bergelar penganggur sehingga mengganggu emosi dan mental mereka.

Bagaimanapun antara jalan terbaik untuk mengukuhkan ekonomi keluarga adalah memulakan perniagaan sendiri. USANITA SDN BHD melihat perniagaan sebagai jalan keluar untuk mereka yang berada di dalam kesempitan.

Justeru itu, USANITA mengambil langkah seiring dengan aspirasi kerajaan termasuk Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) untuk sama-sama membangunkan para usahawan dalam era Industri 4.0 menerusi penjenamaan dan pendigitalan terutama bagi kalangan wanita B40 serta M40.

“Rata-rata usahawan terjejas akibat serangan pandemik dan selama dua tahun kita dibelenggu virus maut itu yang membuat kita ‘mati akal’ seketika. Kami di USANITA melihat impak ini sebagai inisiatif baru bagi melonjak kembali golongan B40 untuk kembali membina ekonomi keluarga dan perniagaan.

“Selari dengan aspirasi kerajaan tentang Wanita Bangkit Mendepani Cabaran, USANITA cuba menyuntik semangat usahawan IKS B40 dengan program dan webinar bagi mereka dalam mendepani cabaran pandemik ini. Hubungan baik di antara USANITA dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) selama ini juga memberi banyak peluang dan sokongan buat wanita yang terkesan dengan Covid-19 dalam menceburi bidang perniagaan.

DATIN ADZLIANA DATO SRI DR HASAN

“Untuk program kali ini, USANITA dengan kerjasama Kementerian Pembangunan Luar Bandar, akan bergerak seiring membantu mereka yang terjejas dan alhamdulillah, kami turut bawakan Datuk Rosyam Nor untuk merealisasikan objektif pengukuhan semula ekonomi golongan berkenaan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datin Adzliana Prof Dato Sri Dr Hasan yang mengharapkan jalinan hubungan dengan kementerian-kementerian lain juga dapat membantu memperkasa dan memajukan ekonomi negara.

Menurut ahli perniagaan wanita berjaya ini, sudah tiba masanya untuk golongan usahawan menggunapakai teknologi pendigitalan secara menyeluruh bagi mencapai sasaran pembeli dengan lebih mudah, pantas dan murah.

Majlis pelancaran program PERINTIS USANITA – PENJENAMAAN DAN PENDIGITALAN BERSAMA KPLB ini dirasmikan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid dan turut hadir adalah Timbalan Menteri 1 KPLB, Dato Sri Haji Abdul Rahman Mohamed; serta Pengarah Urusan V5, Datuk Haji Mohd Syafiq Abdullah.

Majlis diserikan lagi dengan persembahan penghibur terkenal tanah air, Dayang Nurfaizah dengan lagu Dayang Sayang Kamu dan Tari Tualang Tiga.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *