Usanita

Setahun USANITA | Selamat Ulang Tahun USANITA

Sepanjang 365 hari lalu, banyak yang mengejutkan kami sendiri dalam mencipta kejayaan dan itu sejarah buat kami kerana kami tidak menyangka sampai ke tahap begini hari ini. Mulanya kami cuba bergerak kecil memandangkan kami masih baru dalam kumpulan.

Kami cuma berlima. Namun semangat kami bukan sejumlah ‘lima’ itu dan apabila pintu demi pintu, gerbang pula terbuka dan terbentang, kami tidak lepaskan peluang. Usahawan seperti kami tidak akan sia-siakan peluang di depan mata. Lalu perancangan dikemaskan, selari dengan misi dan visi kami dalam memperkasakan usahawan.

Pandemik Covid-19 mencetuskan idea kepada Ketua Pegawai Eksekutif USANITA, Datin Adzliana Prof Dato Dr Hasan untuk membina platform bagi membantu memulihkan semangat dan ekonomi usahawan terutama daripada golongan B40 dan M40 yang terjejas. Kami turut merasakan penderitaan mereka, berdepan kegetiran untuk kembali ke laluan asal. Bukan mudah, kami tahu sangat tetapi kami juga tahu USANITA mampu membantu mereka menerusi aspirasi kerajaan.

Dalam usaha awal memperkenalkan peranan kami kepada pihak kementerian-kementerian, USANITA memperkukuhkan lagi penjenamaan melalui kerjasama dengan NuIdeaktiv menerbitkan program realiti keusahawanan Pencarian Nona Superwoman. Fokus utama program lapan episod ini ialah mereka yang terkesan dek pandemik untuk kembali bangkit membina ekonomi keluarga.

Alhamdulillah kami tempuhi cabaran demi cabaran dengan senyuman kerana yang penting objektif kami untuk menaikkan nama USANITA di samping membantu. Tidak dinafikan program itu memberi kesan kepada penjenamaan USANITA dan mula mendapat perhatian.

Tidak hanya bergantung kepada program tersebut, aktiviti kami turut melibatkan CSR dengan menyumbang bantuan kepada mereka yang memerlukan. Malaysia menyaksikan penderitaan ramai rakyatnya yang hilang punca pendapatan ketika pandemik dan di era endemik. Malah USANITA aktif menghulur sumbangan kepada mangsa banjir sekitar Disember lalu.

Sepanjang tahun lalu juga, banyak kunjung hormat kami lakukan baik di kementerian mahupun agensi kerajaan bagi merapatkan hubungan silaturahim, memahami peranan masing-masing dan seterusnya menjalinkan kerjasama. Sebagai badan pemudahcara, USANITA sentiasa terbuka dalam jalinan kerjasama begini kerana kami yakin dapat membantu kerajaan untuk membantu rakyat.

Peluang yang diberikan oleh penganjur Aspirasi Keluarga Malaysia yang diadakan pada 9 hingga 12 Disember lalu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur kepada USANITA bagaikan suatu penghormatan buat kami. Dua slot diberikan kepada USANITA untuk mempersembahkan bual bicara aspirasi dan inspirasi itu amat bermakna buat kami yang masih ‘bayi’.

Sebelum itu, pada 7 Disember 2021 USANITA melancarkan program Perintis Usanita – Penjenamaan dan Pendigitalan yang disempurnakan oleh Menteri Pembangunan Luar Bandar, Dato’ Seri Mahdzir Khalid dan turut dihadiri Timbalan Menteri 1, Dato’ Sri Abdul Rahman Haji Mohammad. Ini antara program besar untuk kami teruskan pada suku pertama dan kedua 2022 dalam membina jenama kepada 50 usahawan.

Dalam masa yang sama, kami berbesar hati apabila beberapa usahawan selebriti yang turut memberi sokongan kepada USANITA sepanjang tahun 2021. Antaranya Datuk Rosyam Nor, Rozita Che Wan, Rizman Ruzaini, Awal Ashaari, Uyaina Arshad, Fiziwoo dan Datuk Aznil Nawawi yang kini menjadi rakan strategik USANITA.  Sokongan mereka tidak berhenti di situ sahaja kerana tahun ini, 2022 bakal menyaksikan lebih banyak penglibatan mereka dalam acara-acara anjuran USANITA.

Malah sokongan padu Majalah Nona, Astro Prima serta beberapa media seperti Harian Metro, Berita Harian, Sinar Harian, Kosmo dan Utusan Malaysia turut menyemarakkan semangat kami untuk lebih berusaha keras membangkitkan usahawan tempatan.

Banyak lagi yang membuat kami tersenyum bangga sepanjang 2021 tetapi sebagai syarikat yang masih bertatih, kami juga akui banyak yang perlu diperbaiki dari semasa ke semasa. Kekurangan lalu sangat berguna untuk kami pelajari untuk dijadikan panduan bagi tahun-tahun mendatang.

Dan hari ini 27 Januari 2022, USANITA SDN BHD berusia setahun. Alhamdulillah!

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *