
BIARPUN era pendigitalan sudah mendominasi dunia, namun masih ada sebahagian daripada kita yang ‘menolak’ kemudahan ini kerana terlalu selesa dengan sistem konvensional. Malahan tidak kurang yang tidak menyedari langsung kewujudan teknologi begini.
Usanita Sdn Bhd memandang serius hal ini terutama dalam lapangan keusahawanan yang menjadi nadi baru ekosistem ekonomi negara di mana bangkitnya ramai pemain baru. Syarikat pemudah cara ini melihat era pendigitalan hari ini sebagai peluang besar untuk para usahawan meluaskan pasaran produk mereka.
Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan, kesedaran terhadap kepentingan pendigitalan ini meningkat ketika dunia dilanda pandemik Covid-19 selepas masing-masing berdepan kekangan pergerakan dan komunikasi secara fizikal seperti kebiasaannya.
“Kita berada di era pendigitalan yang meliputi setiap inci pengurusan kehidupan yang mempengaruhi gaya hidup kita termasuk cara bekerja, berkomunikasi, bergerak dan berbelanja. Sebab itu, suka atau tidak, pendigitalan ini sangat perlu untuk kita menjalani kehidupan seharian.
“Covid-19 antara lain mengajar manusia tentang perubahan dan anjakan paradigma pengurusan kehidupan yang lebih lestari dan saya melihat platform digital telah mengambil peranan bagi melancarkan lagi rutin harian manusia dengan sistematik.
“Di sini pentingnya juga para usahawan mengambil kesempatan menggunakan platform pendigitalan untuk menawan pasaran dengan lebih mudah, tepat dan pantas, sekali gus membentuk ekonomi digital,” kata Datin Adzliana.
Bagaimanapun beliau sering menekankan pendigitalan dan ekonomi digital ini perlu pemahaman yang menyeluruh supaya usahawan-usahawan atau bakal peniaga mampu mengurus bisnes mereka dengan baik.
Salah satu daripadanya kata Datin Adzliana, para peniaga harus belajar dan menimba ilmu dalam pemasaran digital daripada mereka yang arif dan ahli dalam bidang masing-masing.
“Kita tidak boleh mengharapkan ‘bilik kelas’ di YouTube semata-mata kerana di luar sana, ramai mentor yang bersedia berkongsi ilmu. Namun pilih yang terbaik dan sesuai dengan keperluan diri serta bisnes kita.
“Saya sering memberitahu para Perintis Usanita supaya jangan berhenti belajar kerana pemasaran digital cepat berubah dan yang amat penting, praktikkan apa yang telah dipelajari. Jangan belajar tetapi tidak buat,” katanya.