Usanita

DATIN ADZLIANA LEBARKAN CABANG BISNES BUKA BUTIK AMBER

DI DALAM kesibukan menguruskan pelbagai program di bawah payung Usanita Sdn Bhd, Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Adzliana Prof Dato Sri Dr Hasan melebarkan empayar perniagaan dengan membuka sebuah butik eksklusif pada awal Mei lalu.

Menurut penerima Best Nona Strategic Business Thinker Award 2020 ini, perniagaan butik bukan baru baginya kerana sebelum ini beliau pernah menguruskan sebuah butik pengantin sebelum diserahkan kepada rakan kongsi bagi menumpukan perhatian terhadap Usanita Sdn Bhd.

“Minat berniaga terutama butik masih bersisa dalam diri saya dan apa yang saya lakukan kali ini adalah kesinambungan butik pengantin tetapi ia lebih eksklusif,” katanya.

Butik dengan jenama Amber itu kini secara rasminya beroperasi di No 77, Wangsa Walk Mall, Wangsa Maju menampilkan busana yang berkonsep flower power sebagai koleksi pertama.

“Untuk pengenalan Amber, saya membawa 30 rekaan yang meliputi pakaian wanita dan lelaki. Rekaan ini berdasarkan bunga-bungaan yang mempunyai ciri-ciri batik Malaysia. Ia sedikit abstrak tetapi mainan warna-warna yang vibrant akan lebih menonjolkan si pemakai.

“Ini corak dan warna yang agak terang untuk mereka yang berani dan mahukan kelainan. Saya bersama in-house designer cuba memberi yang tiada di pasaran kepada peminat fesyen tempatan,” kata Datin Adzliana.

Tanggal 8 Jun lalu, rakan-rakan sealiran dunia fesyen hadir memberi sokongan kepada Amber. Antaranya pereka ternama negara, Rizman Nordin (Rizman Ruzaini); Fiziwoo; Man Kajang; pereka gaya selebriti, Tym Fatimah serta duo jurugambar selebriti dari Blackpepper Studio.

“Mereka sangat menyokong setiap apa yang saya lakukan baik untuk Usanita mahupun Amber. Kehadiran mereka di butik Amber ini sebagai pengenalan saya kepada mereka tentang cabang bisnes terbaru saya,” katanya.

Bagaimanapun kata Datin Adzliana, majlis perasmian pembukaan butik Amber akan dilakukan di dalam waktu terdekat dengan menjemput lebih ramai kenamaan dan selebriti.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *