Usanita

3 HARI BOOTCAMP PERINTIS USANITA:PENJENAMAAN DAN PENDIGITALAN

PENGISIAN ilmu tiga hari dua malam benar-benar meninggalkan impak positif kepada lebih 70 usahawan yang menyertai sesi Bootcamp Perintis Usanita apabila rata-rata mereka berpuas hati dengan penganjuran oleh Usanita Sdn Bhd itu.

Perkongsian ilmu bisnes daripada mentor, usahawan dan selebriti jemputan telah membuka mata mereka tentang dunia perniagaan hari ini terutama menyentuh aspek penjenamaan serta pendigitalan yang menjadi platform utama kini.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Prof Dato Sri Dr Hasan, di dalam acara yang menjadi sebahagian daripada program Perintis Usanita: Penjenamaan & Pendigitalan itu banyak membongkar permasalahan sebenar peserta terhadap bisnes yang mereka jalankan.

“Selepas berdepan dengan mereka di bootcamp ini, baru kami trace kekangan sebenar mereka selama berniaga terutama pemasaran dan pengurusan bisnes. Bertahun mereka berniaga tetapi belum ke mana-mana kerana tiada hala tuju.

“Sebab itu tidak kurang juga peserta yang menangis apabila mendengar perkongsian ahli panel jemputan kami kerana mereka boleh kaitkan perjalanan panel tersebut dengan apa yang mereka lalui selama ini.

“Alhamdulillah, selepas perkongsian itu, mereka kembali bersemangat dan kami di Usanita Sdn Bhd sentiasa ingin membantu keusahawanan mereka bagi mencapai ke tahap yang diinginkan,” kata Datin Adzliana.

Malah Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat Tuan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal yang merasmikan pelancaran Usanita Mall pada hari kedua program juga menyifatkan apa yang dilakukan oleh Usanita Sdn Bhd wajar dicontohi oleh badan-badan korporat lain dalam membantu menaiktaraf ekonomi rakyat.

Acara yang berlangsung dari 15 hingga 17 Julai dipenuhi sesi perkongsian ilmu daripada Pakar Mindset, Azzam Sabtu; Usahawan Selebriti, Dato’ Fazley Yaakob, Datuk Rosyam Nor, Awal Ashaari, Zoey Rahman; Juara Pencarian Nona Superwoman, Fazs Faozi dan tidak ketinggalan Datin Adzliana sendiri yang berpengalaman luas sebagai usahawan wanita berjaya.

Sesi pertama untuk hari pertama dimulai dengan taklimat daripada wakil TnG Wallet dan seminar bertajuk Mindset Usahawan Luar Biasa oleh Azzam Sabtu. Pada sebelah pagi hari kedua pula, sekali lagi Tuan Azzam muncul berkongsi tentang Usahawan Luar Biasa.

Hari kedua agak padat dengan program termasuk perkongsian daripada Dato’ Fazley Yaakob dan Fazs Faozi tertang Penampilan Diri Sebagai Usahawan. Manakala sebelah petang makin menarik dengan Coffee Session With Business Mogul yang menampilkan Datin Adzliana, Datuk Rosyam Nor, Dato’ Fazley dan Awal Ashaari.

Hari kedua ini juga diadakan majlis pelancaran Usanita Mall & U-Niaga yang disempurnakan oleh Tuan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal. Usanita Mall adalah usaha terbaru Usanita Sdn Bhd untuk selaras dengan konsep pendigitalan seperti yang dipromosi hari ini.

Usanita Mall adalah platform e-dagang atau market place yang dibangunkan oleh Usanita Sdn Bhd yang mensasarkan peniaga dan pengguna online di seluruh Malaysia dengan objektif utamanya bagi memberi pendedahan perniagaan usahawan B40 dan M40 secara digital.

Pada malamnya, sebuah acara yang boleh dianggap kemuncak program iaitu Shark Tank, sebuah sesi ‘pitching’ yang dikendalikan oleh Datin Adzliana, Datuk Rosyam dan Awal Ashaari.

Melengkapkan tiga hari perkongsian ilmu, sesi bootcamp ini menampilkan usahawan selebriti, Zoey Rahman dan Perintis Usanita di dalam slot Mentor Mentee sebelum ditutup dengan perkongsian kemuncak oleh duta Perintis Usanita, Datuk Rosyam Nor yang menyentuh tentang topik ‘Kita Semua Boleh Berjaya’.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *