Usanita

CEO USANITA DILANTIK SEBAGAI AHLI LEMBAGA PEMEGANG AMANAH YAYASAN KEBAJIKAN NEGARA

OGOS bukan sahaja bulan manis Malaysia menyambut kemerdekaan, malah menjadi kenangan terindah buat Usanita Sdn Bhd apabila Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan dilantik sebagai Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Pemilihan untuk pelantikan Ahli Lembaga Pemegang Amanah ini dilakukan oleh pihak tertinggi YKN  yang perlu melalui beberapa tapisan dan timbangtara sebelum seseorang itu layak untuk mendapat pengiktirafan tersebut. Yayasan Kebajikan Negara adalah badan yang dinaungi oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat.

Datin Adzliana ketika ditemui menyifatkan pelantikan ini sebagai suatu pengiktirafan bukan untuknya seorang, malah bagi pasukan Usanita Sdn Bhd yang bekerja keras selama ini dalam mencapai visi dan misi syarikat.

“Saya tidak menyangka mereka memilih saya sebagai salah seorang Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara kerana pengiktirafan begini sangat besar peranan dan tanggungjawabnya.

“Saya amat berbesar hati dan terbuka menerima pelantikan ini kerana saya mahu menyumbang sedaya mungkin idea dan tenaga berdasarkan pengalaman saya selama ini di dalam dunia perniagaan dan kemasyarakatan terutama yang membabitkan kaum wanita,” katanya.

Datin Adzliana yang kini sibuk menjelajah negara untuk program Perintis Usanita bersama Datuk Rosyam Nor akan menjadi Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara selama dua tahun bermula 12 Ogos 2022 hingga 11 Ogos 2024.

Beliau sangat berterimakasih kepada Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, YB Datuk Seri Rina Harun dan Ketua Pegawai Eksekutif, Puan Nordina Haron yang sentiasa ‘nampak’ apa yang Usanita Sdn Bhd lakukan untuk pembangunan ekonomi negara terutama bagi membantu golongan M40 dan B40.

“Walaupun jadual saya akan bertambah padat selepas ini tetapi demi negara, insya-Allah saya mampu berkorban. Lagipun kebanyakan program dan aktiviti di bawah YKN agak selari dengan apa yang saya lakukan di Usanita selama ini.

“Untuk minggu pertama pelantikan pun, pelbagai program telah dirancang bagi mengharmonikan kehidupan golongan sasar serta beberapa inisiatif baru bakal diperkenalkan dengan strategi yang lebih mampan,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *