
DUNIA pendigitalan tanpa sempadan hari ini sudah terbukti banyak membantu ramai usahawan untuk melonjakkan angka jualan produk atau servis mereka hingga antaranya yang sudah berstatus jutawan.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Prof Dato Sri Dr Hasan di dalam ucapannya sempena majlis pelancaran Usanita Mall & U-Niaga pada 17 Julai lalu menyifatkan usahawan yang tidak menggunakan platform digital untuk pemasaran dan penjenamaan produk mereka adalah usahawan yang ketinggalan dalam arus persaingan.
“Saya tidak menafikan pemasaran konservatif atau online masih relevan hari ini dan saya tidak menolak peranan kaedah begitu tetapi alangkah lebih baik jika online atau digitalisation ini dimanfaatkan sebaik mungkin di dalam perniagaan anda.
“Sehubungan itu juga, seiring dengan pendigitalan yang kian meluas hari ini, kami di Usanita Sdn Bhd telah membangunkan sebuah platform market place yang dipanggil USANITA MALL bagi memberi lebih ruang kepada usahawan terutama Perintis Usanita memasarkan produk mereka ke pasaran yang lebih luas,” katanya.
Majlis pelancaran Usanita Mall & U-Niaga itu dirasmikan oleh Timbalan Menteri Perpaduan Negara, Yang Berhormat Tuan Wan Ahmad Fayshal Wan Ahmad Kamal bertempat di Dewan Tun Dr Ismail, Pusat Dagangan Putra (WTC) Kuala Lumpur.
Datin Adzliana berkata, secara tidak langsung platform Usanita Mall ini akan memperkenalkan jenama mereka yang bernaung di bawahnya menemui audiens sasaran.