Usanita

CEO USANITA DILANTIK SEBAGAI JURI USAHAWAN MASTERCLASS BULETINFM

KELIBAT Usanita Sdn Bhd sebagai badan pemudahcara di persada keusahawanan negara kian meyakinkan ramai pihak baik kementerian, agensi kerajaan mahupun konglomerat ternama.

Seiring jenamanya yang sedang mengembang, sudah tentu turut terpalit insan yang bertanggungjawab membangunkan Usanita yakni Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan selaku Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd.

Baru-baru ini, Datin Adzliana dilantik sebagai juri dan panel jemputan untuk program Usahawan Masterclass BuletinFM yang bersiaran pada 13 Oktober 2022. Program terbitan stesen radio milik Media Prima Berhad (MPB) itu adalah program pencarian usahawan dalam kalangan masyarakat B40 di seluruh negara.

“Sudah tentu saya dan Usanita berasa sangat bangga apabila Media Prima Berhad nampak apa yang kami lakukan untuk usahawan negara selama ini terutama memfokuskan golongan B40.

“Topik yang dipilih hari itu juga sangat menarik, tentang kepentingan mendaftar hak cipta produk dan jenama agar tidak ‘dirampas’ oleh pihak-pihak bertanggungjawab.

“Secara peribadi, saya suka tajuk Harta Intelek: Aset Bernilai Dalam Perniagaan kerana ia sangat penting untuk para usahawan mengambil berat akan perkara ini dan perkara ini juga sering saya ingatkan usahawan-usahawan di bawah Perintis Usanita,” kata Datin Adzliana.

Selain peneraju Usanita Sdn Bhd, program Usahawan Masterclass BuletinFM itu turut menampilkan seorang lagi juri, Pengarah Urusan Armani Media Sdn Bhd, Dato KK Chua dan Panel Jemputan, Ketua Pengarah MyIPO, Abdul Haris Haji Lakar.

Menurut Datin Adzliana, di dalam siaran itu beliau banyak berkongsi kepada audiens tentang apa yang telah Usanita lakukan kepada Perintis Usanita untuk memajukan bisnes mereka.

“Topik yang dibawakan oleh Masterclass BuletinFM ini sangat bagus untuk mendidik para usahawan tentang hak cipta.

“Orang ingat, bisnes hanya proses jual dan beli tetapi sebenarnya ia lebih daripada itu termasuklah mengambil inisiatif mendaftar hak cipta dengan MyIPO atau membuat senarai semak sesebuah perniagaan demi menjaga kepentingan bisnes masing-masing,” katanya.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *