Usanita

STREETSMART STUDIO X USANITA KUKUHKAN JENAMA 25 USAHAWAN

SEJAK 15 Oktober lalu, program Streetsmart Studio X Usanita mula bersiaran menerusi Youtube Usanita dan Suhan Channel yang menampilkan temubual eksklusif Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan dan usahawan selebriti ternama, Datuk Rosyam Nor bersama usahawan-usahawan tempatan.

Streetsmart Studio X Usanita adalah sebahagian daripada kemuncak program Perintis Usanita – Penjenamaan dan Pendigitalan anjuran Usanita Sdn Bhd bagi melahirkan usahawan negara yang berdaya saing di dalam pasaran tanpa sempadan hari ini.

Hampir sebulan penggambaran dilakukan di seluruh negara bermula 19 September dan berakhir pada 12 Oktober lalu yang merakamkan pelbagai cerita tentang kebangkitan, kejatuhan, suka-duka dan perit jerih para usahawan untuk membangunkan impian membina empayar serta legasi bisnes.

Pengalaman berada di lokasi bagi 25 episod program ini juga memberi pengalaman berharga buat Datin Adzliana sendiri apabila turun padang mendekati lebih dekat permasalahan para usahawan dan bagaimana Usanita Sdn Bhd sebagai badan pemudahcara dapat membantu merungkaikan masalah-masalah mereka.

“Walaupun saya pernah terlibat di dalam penggambaran untuk siaran TV sebelum ini tetapi Streetsmart Studio X Usanita begitu peribadi kepada saya selepas terlibat secara langsung mengenali usahawan-usahawan Perintis Usanita ini.

“Streetsmart Studio X Usanita menampilkan 25 usahawan yang terpilih di peringkat Top 25 di mana setiap episod menampilkan seorang usahawan yang berkongsi tentang produk atau servis yang mereka tawarkan.

“Inilah yang saya mahukan, menerusi program ini saya dapat mengenal akar umbi permasalahan yang mereka hadapi dan lebih mudah untuk Usanita merangka senarai semak bagi menyelesaikan kekusutan itu,” kata Datin Adzliana yang gembira dengan sambutan penonton Streetsmart Studio X Usanita di kedua-dua saluran Youtube itu.

Penggambaran bermula di Cyberjaya yang merakam kisah pencuci bangunan (Rope Acces) sebelum kru Suhan Movies dan Usanita bergerak ke Banting, Selangor untuk menemubual pemilik Ros Kerepek.

Mereka kemudiannya mengatur jadual ke Kuala Kangsar, Manjung dan Pusing (Perak), Pulau Pinang, Terengganu, Johor, Negeri Sembilan (Nilai dan Kuala Pilah), Selangor (Sungai Besar, Batu Arang dan Shah Alam), Kuala Lumpur serta beberapa lokasi lagi.

Penat? Bila ditanya Datin Adzliana, perkataan itu tidak pernah ada dalam kamus hidupnya apabila tanggungjawab ini berkaitan dengan pembangunan usahawan tempatan.

“Alhamdulillah, segalanya dipermudahkan-Nya kerana penggambaran berjalan seperti dijadualkan. Ini pengalaman manis buat saya dan Usanita untuk menyelami masalah usahawan kita.

“Sepanjang berbual baik off-camera mahu ketika rakaman, saya banyak bertanyakan mereka tentang pemasaran dan produksi sesebuah produk. Tidak hanya itu, saya juga menemubual mereka yang berada di sekeliling seseorang usahawan, minta pandangan mereka kerana daripada temubual itu, insya-Allah penonton program ini dapat lebih input berguna.

“Streetsmart Studio X Usanita adalah sebahagian daripada ‘hadiah’ Usanita Sdn Bhd kepada 25 usahawan ini bagi menguatkan lagi penjenamaan mereka. Kehadiran Datuk Rosyam sangat membantu untuk penjenamaan ini,” katanya.

Streetsmart Studio X Usanita boleh ditonton menerusi saluran Youtube Usanita dan Suhan Movie setiap Sabtu dan Ahad.

https://www.youtube.com/c/USANITA

Youtube usanita

https://www.youtube.com/c/SuhanMovies

Suhan channel

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *