Usanita

3 SIRI KARNIVAL KERJAYA DAN KEUSAHAWANAN DAPAT SAMBUTAN POSITIF

Bermula di Sepang, Selangor pada 29 Ogos 2022 yang dihadiri lebih 300 peserta, Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit KPWKM dengan kerjasama Usanita Sdn Bhd meneruskan pembangunan ekonomi dalam kalangan wanita golongan B40 ke siri kedua dan ketiga. 

Dua minggu selepas siri pertama, gandingan kementerian yang diterajui oleh Dato’ Seri Rina Harun dan badan pemudah cara yang diketuai Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Prof Dato Sri Dr Hasan itu menyambung ke siri kedua di World Trade Centre (WTC) Kuala Lumpur. 

Siri kedua yang diadakan pada 13 September 2022 itu menyaksikan lebih ramai peserta iaitu kira-kira 1,700 orang menghadiri seminar bagi memajukan ekonomi masing-masing. 

Ini diikuti siri ketiga yang kembali ke Sepang pada 21 Oktober 2022 dan mengumpulkan lebih 500 peserta wanita.

“Alhamdulillah, sambutan yang memberangsangkan ini secara tidak langsung menggambarkan golongan wanita B40 terutama daripada kalangan surirumah mahukan anjakan paradigma pada kehidupan mereka. 

“Mereka hadir dengan penuh semangat ke program ilmu perniagaan ini yang turut menawarkan peluang pekerjaan serta mencipta peluang pekerjaan,” kata Datin Adzliana.

Lebih membanggakan apabila Dato’ Seri Rina Harun turut meluangkan masa menghadiri ketiga-tiga siri Karnival Kerjaya dan Keusahawanan Wanita Bangkit KPWKM dengan kerjasama Usanita Sdn Bhd itu. 

Sambung Datin Adzliana: “Di dalam program ini, kami juga memberi pendedahan kepada peserta bagaimana mahu memulakan bisnes termasuk menjadi ejen produk orang lain serta memberi kemahiran asas tentang perniagaan.

“Dengan modal RM500 yang disumbangkan oleh Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM), mereka sudah boleh memulakan bisnes secara kecil-kecilan. Tidak salah bermula dari bawah, malahan itu lebih baik yang akan mengajar mereka selok-belok berniaga.”

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *