Usanita

‘OQP MAMPU KEMBANGKAN BISNES USAHAWAN’

MIND-SET positif, lingkungan orang kualiti (circle) dan komunikasi adalah antara kriteria yang perlu dimiliki oleh seseorang usahawan untuk bertahan di persada keusahawanan dalam mencipta kejayaan.

Tiga kriteria ini sering dititikberatkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Prof Dato Sri Dr Hasan bukan sebagai peneraju badan pemudah cara itu semata-mata, malah untuk ingatan para usahawan di bawah payung Perintis Usanita.

“Mind-set yang positif mungkin mudah dicapai tetapi agak sukar untuk dipertahankan kerana banyak faktor sekeliling biasanya akan menggoyahkan apa yang kita pegang. Bagaimanapun tidak mustahil untuk kita sentiasa positif sekiranya minda kita kuat dan tahu mengendali situasi.

“Kedua, usahawan perlu menjaga circle dan saya sering mengingatkan diri saya sendiri serta usahawan terutama Perintis Usanita supaya sentiasa bergaul dengan Only Quality People (OQP) untuk membantu mereka grow. Circle yang negatif akan mengheret kepada kejatuhan kita. Nak kembang, kawan dengan mereka yang sudah berjaya atau tahu hala tuju bisnes.

“Dan yang ketiga, komunikasi perlu bijak. Tak pandai bercakap, pergi belajar. Banyak kelas formal atau informal yang boleh kita belajar tentang cara bercakap, jaga adab dalam bisnes dan bagaimana untuk memperkenalkan produk kepada khalayak dengan cara yang betul dan berkesan,” kata Datin Adzliana.

Tiga kriteria usahawan tersebut juga yang dibawa penerima anugerah Best Strategic Thinker, Superwoman Awards 2020 ini ke dalam program Seminar Keusahawanan Belia Mypreneur di bawah Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang dihadiri lebih 150 usahawan.

Di dalam program yang diadakan di Pusat Belia Antarabangsa, Cheras itu, Datin Adzliana dijemput sebagai speaker bagi slot Perkongsian Borak Usahawan – Challenge Your Limit.

“Saya juga menjelaskan kepada hadirin bagaimana seseorang baik individu mahupun sebagai usahawan mampu mencabar diri mereka untuk pergi lebih jauh dan keluar daripada zon selesa.

“Usahawan-usahawan belia atau bakal usahawan ini perlu banyak diberi pendedahan tentang bisnes kerana setiap orang lain cabarannya,” katanya.

Bagi menambah nilai kepada Perkongsian Borak Usahawan – Challenge Your Limit, Datin Adzliana turut menjemput dua Rakan Strategik Usanita Sdn Bhd, Datuk Rosyam Nor dan Awal Ashaari.

Majlis penuh makna itu juga dihadiri Timbalan Ketua Pengarah, Bahagian Pembangunan Belia dan Sukan Negara KBS, Dr Zainah Shariff.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *