

USANITA Sdn Bhd tidak pernah lelah mendekati masyarakat di seluruh negara dalam usaha memperkenalkan peranannya sebagai pemudah cara di bidang keusahawanan yang melibatkan rakyat, badan korporat dan pihak kerajaan.
Tanggal 15 Oktober lalu, kakitangan dan krew Usanita yang diterajui oleh Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan sekali lagi menyertai Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh bagi mendekati warga bumi Hang Tuah.
Lebih menarik penyertaan kali ini apabila Usanita yang bergabung tenaga dengan Yayasan Kebajikan Negara (YKN) turut sama-sama dalam Siaran Luar Buletin FM di mana stesen radio milik Media Prima Berhad itu bersiaran secara langsung dari MITC.
Datin Adzliana ketika ditemubual secara live oleh penyampai radio Buletin FM di reruai Buletin FM itu lebih banyak berkongsi tentang peranan Usanita Sdn Bhd dan pencapaiannya sepanjang tahun 2022.
“Dalam temubual bersama Buletin FM itu juga saya menyatakan tentang Usanita yang mendapat kerjasama positif daripada pihak kerajaan terutama Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang diketuai oleh menterinya, Dato Seri Rina Harun.
“Masih banyak lagi kerja-kerja yang perlu Usanita lakukan bukan sahaja memperkenalkan jenama kami tetapi lebih kepada memberi kesedaran kepada usahawan terutama golongan wanita di luar sana tentang peluang-peluang penjanaan ekonomi yang diberikan oleh pihak kerajaan.
“Sebagai pemudah cara, Usanita sekadar menjadi jambatan antara pihak kerajaan dengan rakyat yang kadang-kadang terlepas pandang dengan aspirasi dan inisiatif yang dilakukan oleh pemerintah,” kata Datin Adzliana yang berterimakasih kepada KPWKM.
Selain beliau, sesi temubual itu juga diadakan bersama Ketua Setiausaha (KSU) KPWKM, Datuk Dr Maziah Che Yusoff; Timbalan Ketua Setiausaha (TKSU) KPWKM, Encik Chua Choon Hua dan Ketua Pegawai Eksekutif YKN, Puan Nordina Haron.
Menariknya kata Datin Adzliana, setiap kali Usanita berada di AKM, semakin ramai yang ingin menyertai Perintis Usanita dan disebabkan itu juga Usanita membuka peluang untuk pengunjung bertanyakan lebih terperinci tentang Usanita dan peranannya.
“Semoga Siaran Luar Buletin FM – YKN X Usanita ini dapat memberi manfaat kepada lebih ramai rakyat dan dalam masa yang sama daripada pemerhatian saya selama di program ini, saya yakin jenama Usanita semakin dipercayai,” katanya.