Usanita

USANITA JADI PENAJA UTAMA NONA SUPERWOMAN AWARDS 2022

SESI fotografi Majalah Nona Edisi Khas ‘Nona Superwoman Awards 2022’ berlangsung lancar dan selama lebih lima jam di Tingkat 28 Hotel Mandarin Oriental Kuala Lumpur, fokus petugas terlibat hanya kepada seorang figura wanita.

Bermula seawal jam 10 pagi, kerja-kerja mempersiapkan Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan yang menjadi antara penghias muka depan (front cover) majalah terunggul wanita itu.

Jurusolek terkenal, Deqsha bertanggungjawab menatarias wajah Datin Adzliana sebelum bergaya depan kamera dengan empat persalinan rekaan Rizman Ruzaini. Turut turun padang pagi itu ialah Managing Editor Nona, Kiffy Razak serta team kreatif Ideaktiv termasuk fotografer, videografer, wakil grafik (atur letak) dan pihak pemasaran organisasi media tersebut.

Wajah Datin Adzliana akan menghiasi muka depan edisi khas Majalah Nona ini bersama penerima-penerima anugerah utama Nona Superwoman Awards 2022.

Menurut Datin Adzliana, sesi fotografi ini adalah sebahagian daripada peranan Usanita Sdn Bhd sebagai penaja utama Nona Superwoman Awards 2022. Dan penglibatan Usanita di dalam projek ini juga antara usaha memperkasakan jenama Usanita Sdn Bhd sebagai badan korporat bagi kategori pemudah cara untuk golongan usahawan.

“Kerjasama Usanita dan Nona ini bukanlah pertama kali, sebaliknya ia adalah kesinambungan gandingan dua organisasi (korporat dan media) yang mula saling mengenali sejak tahun 2020 apabila saya antara yang menerima anugerah di Nona Superwoman Awards 2020.

“Kami sudah lama mengenali ‘hati budi’ dan apabila pihak Nona terutama Managing Editor majalah ini, Kiffy Razak mempelawa Usanita untuk berkolaborasi sekali lagi, saya tidak teragak-agak mempertimbangkannya kerana ia bukan sahaja kesinambungan silaturrahim kami, malah ini peluang untuk Usanita menghargai para usahawan yang terpilih menerima anugerah nanti.

“Walaupun agak sibuk sepanjang 2022, tetapi kami tidak pernah melupakan majlis berprestij anjuran Majalah Nona ini sebagai penutup pencapaian Usanita Sdn Bhd untuk tahun ini,” kata Datin Adzliana yang juga Ahli Lembaga Pemegang Amanah Yayasan Kebajikan Negara (YKN).

Kiffy Razak pula berkata: “Usanita menjadi platform dalam usaha membantu serta membuka peluang buat semua wanita untuk berjaya. Usaha ini sangat dipandang tinggi oleh pihak Majalah Nona yang sentiasa inginkan gaya hidup terbaik buat golongan wanita.”

Malam kemuncak Nona Superwoman Awards 2020 dijangka diadakan pada pertengahan Januari 2023 di Kuala Lumpur.

Tahun lalu, Usanita Sdn Bhd memperkasakan program Pencarian Nona Superwoman yang ditayangkan di Astro Prima sebanyak lapan episod dan menyaksikan sambutan positif daripada kalangan para usahawan wanita.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *