


SEBAGAI badan pemudah cara dihormati, Usanita Sdn Bhd kini memanjangkan satu lagi langkah dengan menjadi penyedia modul pembelajaran berkaitan keusahawanan bagi usahawan baru dan bakal usahawan mendalami ilmu perniagaan.
Bersama syarikat penerbangan gergasi, Air Asia menerusi Air Asia Academy, Usanita menjalinkan perjanjian persefahaman bagi memperkasakan usahawan terutama sasaran utama mereka iaitu wanita golongan B40 dan M40 bagi menjana pendapatan.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan dalam ucapannya ketika majlis Menandatangani Memorandum Persefahaman (MOU) Di Antara Air Asia Academy yang diadakan pada 19 Oktober lalu, berkata program itu lebih menjurus kepada pemerkasaan pendigitalan usahawan wanita.
“Kita sedia maklum berada di dalam era pendigitalan hari ini, semuanya serba pantas dan sempadan tanpa batas dan kelebihan yang ada ini seharusnya digunapakai oleh para usahawan dalam usaha memperluaskan pemasaran serta memperkukuhkan jenama perniagaan masing-masing.
“Mereka yang berniaga perlu mengambil kesempatan ini dan disebabkan kesedaran itu juga, kami di Usanita Sdn Bhd sangat menggalakkan usahawan di bawah kami yang dipanggil Perintis Usanita agar tidak ketinggalan belajar dan memanfaatkan kemudahan teknologi hari ini.
“Saban hari pelbagai aplikasi diperkenalkan untuk memudahkan kehidupan manusia termasuk bagi mereka yang berniaga. Selain kebergantungan kepada pemasaran offline atau fizikal, kami mewajibkan Perintis Usanita mengambil juga pendekatan digital.
“Kerjasama Usanita dan Air Asia Academy ini adalah sebahagian daripada inisiatif program teknologi digital yang menyediakan modul dan kelas perniagaan pada harga mampu milik untuk kalangan usahawan perusahaan kecil dan sederhana (PKS),” katanya.
Dalam masa yang sama, Datin Adzliana mengucapkan terimakasih kepada Air Asia Academy yang diterajui oleh Presiden (Ventures) Capital A yang juga Ketua Pegawai Eksekutif Air Asia Academy, Aireen Omar yang sama-sama sepakat menjalinkan kerjasama memperkasakan peniaga wanita B40.
“Ia selaras dengan apa yang Usanita perjuangkan dari awal dan Alhamdulillah, semakin banyak syarikat dan badan korporat menyertai kami demi mencapai objektif membantu ekonomi golongan B40 dan M40 menerusi perniagaan,” katanya.
Majlis ringkas yang diadakan di Air Asia Academy, KL Sentral itu turut dihadiri rakan-rakan strategik Usanita serta wakil media.