Usanita

USANITA TERUS BERINSPIRASI DI PENTAS UTAMA ASPIRASI KELUARGA MALAYSIA

JENAMA Usanita Sdn Bhd bukan asing lagi di persada keusahawanan negara selepas pelbagai kempen dijalankan termasuk yang sedang rancak berlangsung, Perintis Usanita – Penjenamaan dan Pendigitalan dan melibatkan personaliti usahawan tanah air, Datuk Rosyam Nor.

Bersempena Jelajah Aspirasi Keluarga Malaysia (AKM) di Melaka International Trade Centre (MITC), Ayer Keroh, Melaka pada 15 Oktober lalu, badan pemudah cara ini menerima sambutan luar biasa daripada pengunjung yang membanjiri program anjuran kerajaan itu.

Selain ditemubual para penyampai radio Buletin FM dalam Siaran Luar Buletin FM, Usanita turut diberi slot khas selama dua jam di pentas utama AKM. Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Adzliana Prof Dato’ Sri Dr Hasan memanfaatkan kesempatan ini dengan menampilkan program bual bicara yang penuh inspirasi.

“Bagi menguatkan kempen Perintis Usanita – Penjenamaan dan Pendigitalan, Usanita mengisi ruang masa dan pentas yang diberikan itu dengan program Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM kerjasama YKN X Usanita Sdn Bhd.

“Program wanita bangkit ini juga adalah kesinambungan kerjasama Usanita dengan pihak Yayasan Kebajikan Negara (YKN) di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) untuk melahirkan lebih ramai usahawan dalam kalangan wanita golongan B40,” kata Datin Adzliana.

Majlis dilengkapkan dengan penampilan Awal Ashaari sebagai moderator, di samping Datuk Rosyam dan Datin Adzliana sendiri sebagai panel. Ketiga-tiga mereka banyak berkongsi tentang perjalanan bisnes masing-masing dan bagaimana menangani cabaran yang mendatang.

Menurut Datin Adzliana, bagi memantapkan sesi inspirasi petang itu, Usanita turut menjemput salah seorang Top 25 Perintis Usanita iaitu Shahrol Annaz yang menjalankan perniagaan sambal dengan jenama Syilis.

“Perjalanan perniagaan Shahrol dan Syilis sangat menarik yang saya kira mampu menyuntik semangat dan menjadi sumber inspirasi kepada pengunjung yang memenuhi perkarangan pentas utama AKM itu.

“Shahrol adalah pengasas Syilis yang setakat ini telah mengeluarkan lapan jenis sambal yang sedia dimakan,” katanya.

Program Keusahawanan Wanita Bangkit @KPWKM kerjasama YKN X Usanita Sdn Bhd itu turut dimeriahkan dengan acara cabutan bertuah untuk pengunjung yang menawarkan hadiah telefon bimbit dan barangan elektronik.

Katanya, sambutan untuk program ini sangat luar biasa dan pihak Usanita sendiri tidak menang tangan menerima pendaftaran baru daripada mereka yang ingin menjadi Perintis Usanita.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *