

Dalam usaha memperkasakan usahawan di bawahnya, Usanita Sdn Bhd sentiasa aktif mencari jalan membina jaringan komunikasi dua hala untuk berkongsi perkembangan semasa dan manfaat bersama.
Pada 31 Januari lalu misalnya, Usanita yang dikepalai oleh Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan mengadakan pertemuan secara maya (virtual) menerusi Online Meeting Perintis Usanita bersama 30 usahawan yang berdaftar sebagai Perintis Usanita (sesi 2023).
Mesyuarat yang berlangsung hampir dua jam itu turut disertai dua rakan strategik Usanita iaitu personaliti tanah air, Awal Ashaari dan wakil TnG e-Wallet, Aiman Mohamad (Senior Associate SME – Partnership).
“Secara umumnya 30 Perintis Usanita memahami objektif pertemuan ini dan tertarik dengan apa yang saya serta Awal dan Aiman kongsikan. Ini adalah antara usaha kami untuk terus memperkasakan Perintis Usanita mengembangkan lagi bisnes.
“Biarpun dilakukan secara maya, komunikasi begini amat penting agar mereka sentiasa dikemaskinikan dengan informasi terkini, dan yang lebih penting mereka juga tidak terasa dipinggirkan.
“Kesempatan pada pertemuan ini juga saya menawarkan tempat kepada mereka untuk sama-sama menyertai Bootcamp Perintis Usanita 2: Usahawan Super yang akan diadakan selama tiga hari dari 24 hingga 26 Februari ini di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur,” kata Datin Seri Adzliana.
Manakala selebriti dan ikon fesyen, Awal turut menceritakan pengalamannya bersama program-program Usanita serta kolaborasi-kolaborasi yang pernah syarikat pemudah cara itu jalinkan termasuk bersama AirAsia Academy dan TnG e-Wallet.
Begitu juga dengan Aiman yang memberi pendedahan tentang kepentingan penggunaan QR Code sebagai medium pembayaran dalam perniagaan sekarang dan TnG e-Wallet mempunyai kemudahan itu untuk ditawarkan kepada Perintis Usanita.
“Kolaborasi antara syarikat serta individu yang dilantik sebagai rakan strategik Usanita sangat penting untuk Usanita melebarkan manfaat kepada para Perintis Usanita termasuk menggalakkan mereka menyertai Usanita Mall, sebuah ‘market place’ sebagai platform untuk berdagang,” kata Datin Seri Adzliana. Datin Seri Adzliana juga menjelaskan bahawa antara kebaikan utama apabila usahawan-usahawan ini berdaftar sebagai Perintis Usanita ialah networking sesama mereka bangsa usahawan dan boleh saling bertukar ilmu.