Usanita

DATIN SERI ADZLIANA KEKAL SEBAGAI AHLI LEMBAGA PENGARAH YAYASAN KEBAJIKAN NEGARA

“SAYA banyak bersyukur di atas kepercayaan ini, bukan sahaja untuk saya secara peribadi malah buat Usanita Sdn Bhd dan kepercayaan oleh pengurusan tertinggi Yayasan Kebajikan Negara (YKN) adalah sebuah penghormatan besar untuk kami meneruskan amanah yang diberikan.”

Ini antara kata-kata Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan di atas pelantikan semula sebagai Ahli Lembaga Pengarah YKN di bawah Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM) yang kini diterajui oleh Menteri baru, Dato’ Sri Hajah Nancy Shukri.

Hanya beberapa Ahli Lembaga Pengarah lama yang terlibat di dalam lantikan semula ini yang diadakan secara rasmi pada 9 Februari lalu.

YKN yang masih dipimpin oleh Ketua Pegawai Eksekutifnya, Puan Nordina Harun melihat perlunya kesinambungan usaha-usaha Usanita Sdn Bhd diteruskan sebagaimana sebelumnya demi memperkasakan ekonomi golongan wanita terutama daripada golongan B40 atau asnaf.

Tahun lalu, Usanita Sdn Bhd mengadakan beberapa program bersama YKN dan wanita-wanita di bawah naungannya untuk diberi latihan bagi menjana pendapatan.

“Sebab itu saya sangat berterimakasih kepada YKN dan KPWKM atas pelantikan ini kerana saya mahu terus berbakti membantu wanita-wanita daripada kategori B40 dan saya melihat progres itu amat positif.

“Bagi tahun ini sahaja, kami sedang mengatur beberapa lagi program untuk golongan ini menjana pendapatan, lebih-lebih lagi buat mereka yang masih terkesan oleh impak pandemik. Bersama rakan-rakan strategik Usanita Sdn Bhd seperti Air Asia Academy, T&G e-Wallet serta usahawan selebriti, Usanita bakal menggembleng idea dan keringat sekali lagi demi membantu wanita-wanita terbabit,” katanya.

Kata Datin Seri Adzliana lagi, misi Wanita Bangkit tetap diteruskan walaupun pendekatan pimpinan baru KPWKM mungkin berbeza tetapi objektifnya tetap sama untuk menaikkan ekonomi golongan wanita B40 dan M40.

Leave a Comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *