


BIARPUN masih baru di dalam industri fesyen, Amber mengambil langkah berani untuk terus memperkenalkan rangkaian idea dan rekaan tersendiri menerusi Amber Eid 2023: Fashion Presentation sempena Syawal lalu.
Bertempat di Glasshouse Seputeh, Kuala Lumpur, lebih 30 helaian diperagakan oleh model-model di hadapan lebih 100 tetamu jemputan yang rata-rata adalah pemerhati industri fesyen negara serta wakil media.
Amber yang mula membuka pintu butiknya di Wangsa Walk, Kuala Lumpur tahun lalu dengan himpunan ‘Flower Power’, kali ini turut memperkenalkan rangkaian shawl dan skaf yang masih mengekalkan cetakan ‘kuasa bunga’.
Menurut pengasas dan pemilik jenama Amber, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan, kehadiran Amber di pasaran bukan untuk bersaing tetapi menambahkan lagi seri industri fesyen dan tekstil negara.
“Amber antara cabang bisnes yang berasaskan minat saya di dalam fesyen. Walaupun saya kini sibuk di Usanita Sdn Bhd yang memfokuskan latihan dan coaching dunia keusahawanan, ia tidak menghalang saya untuk meneruskan Amber.
“Buat permulaan, Amber membawa tema bunga di dalam koleksinya tetapi rona bunga-bunga itu lebih menjurus kepada abstrak dan sesekali pandang, ia seperti batik. Bagaimanapun rekaan dan ilustrasi koleksi Amber amat eksklusif, yang tiada di tempat lain,” katanya.
Di dalam majlis peragaan itu juga, Amber memperkenalkan buat pertama kali muse iaitu pasangan selebriti terkenal, Awal Ashaari dan Scha Al Yahya.
Koleksi ready to wear (RTW) ini sedia didapati di Butik Amber, Wangsa Walk, Kuala Lumpur.