

MENERUSI segmen borak santai Bizspot Buletin FM, pelbagai topik diketengahkan oleh pihak Usanita Sdn Bhd dalam memberi maklumat dan keperluan buat golongan usahawan terutama mereka yang masih bertatih di dalam perniagaan.
Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan berkata, walaupun topik-topik santai dipilih tetapi Usanita dan Buletin FM masih mengekalkan isu-isu semasa yang relevan dengan dunia keusahawanan.
“Misalnya di dalam episod ketiga minggu ini, kami membicarakan topik Pentingnya Berfesyen atau Bergaya Sebagai Usahawan kerana ia penting untuk menjaga imej serta penampilan seseorang usahawan, sekaligus meyakinkan bakal pelanggan atau dengan sesiapa mereka berurusan.
“Setiap episod, Usanita tidak hanya diwakili saya sahaja. Seperti minggu ini, Usanita juga menjemput Awal Ashaari yang bukan sahaja rakan strategik Usanita, malah beliau seorang ikon fesyen negara dan usahawan selebriti.
“Episod sebelum ini pun Usanita mengajak Datuk Rosyam Nor ke konti Buletin FM membincangkan tentang Penjenamaan dan Pendigitalan yang sangat penting untuk usahawan hari ini terokai dan dalami,” kata Datin Seri Adzliana.
Borak santai Bizspot ini dikendalikan oleh penyampai Buletin FM, Marsila Hassan dan ke udara selama satu jam.
Selain segmen Bizspot, menerusi jalinan kerjasama strategik bersama Media Prima Audio, Usanita turut terlibat di dalam segmen keusahawanan Masterclass yang menjadi nadi utama visi dan misi Usanita.
“Alhamdulillah melalui kerjasama ini, Usanita banyak diberi ruang untuk berkongsi maklumat perniagaan dan inspirasi dengan pendengar Buletin FM, dengan harapan lebih ramai yang mendapat aspirasi yang cuba Usanita sampaikan.
“Siri pertama musim ketiga Masterclass nanti dijangka ke udara pada 22 Jun 2023 dan yang menariknya, kandungannya akan mengikuti acuan dan modul niaga Usanita,” katanya yang amat berterimakasih kepada pihak Buletin FM khasnya dan Media Prima Audio amnya kerana memberi kebebasan untuk Usanita berkongsi idea keusahawanan.