SEORANG kariah masjid yang sebelum ini begitu rajin berjemaah tetapi tiba-tiba seperti menjauhkan diri dari rumah Allah. Beliau masih di dalam radar sekitar masjid tetapi tidak lagi memasukinya, apatah lagi untuk solat secara berjemaah atau sendirian.
Beliau cuma melilau di sekitar masjid dan memandang rumah suci itu dari luar. Kisah ini menjadi bualan buah mulut kariah-kariah lain yang hairan dengan perubahan tingkah-lakunya. Sehingga timbul cerita-cerita yang tidak manis tentangnya.
Rupa-rupanya ada sebab besar beliau berbuat begitu. Kesihatan beliau membantutkan hasratnya ke masjid, perutnya terpaksa ditebuk untuk dipakaikan stoma bag untuk memudahnya membuang air.
Dan disebabkan keadaan itu, beliau bimbang najisnya (menitis) akan mencemari kawasan masjid walaupun hatinya meronta untuk berjemaah. Untuk melepaskan rindu, beliau hanya mampu melihat dari luar masjid dan kariah-kariah lain berjemaah.
Ini antara kisah masyarakat yang jarang diketengahkan di media tetapi kini diangkat di dalam program borak santai Podcast Hitam Putih terbitan Usanita Sdn Bhd bersama Suhan Channel.
Kisah ini didedahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan dalam satu pertemuan dengan wakil media perdana baru-baru ini.
“Kisah kariah ini antara yang menyentuh hati saya sepanjang rakaman Podcast Hitam Putih kerana kita tidak pernah menyangka ada orang yang begitu menjaga kesucian rumah ibadat seperti masjid.
“Bukan itu sahaja, topik pengurusan jenazah juga sangat membuka mata saya tentang selok-belok menguruskan mayat dari luar negara. Satu lagi topik yang kerap bermain di dalam kepala saya ialah tentang seorang Muslim yang tidak mengenal huruf Al-Quran tetapi teringin sangat membacanya,” kata Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan.
Podcast Hitam Putih yang diterbitkan sebanyak 15 episod memulakan siaran pertama pada 21 Mei 2023 serentak di platform YouTube Usanita dan Suhan Channel. Program ini disiarkan setiap Ahad, jam 9 malam.
Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan berkata, penerbitan program kemasyarakatan ini bertujuan memberi pendedahan sisi berbeza kepada audiens/pengikut kedua-dua saluran tersebut.
“Podcast ini tentang kehidupan kita seharian yang masih banyak lagi liku yang tidak kita ketahui. Bersama tetamu jemputan, ia membuka sisi-sisi kehidupan yang belum pernah kita dengar.
“Walaupun Usanita selama ini memfokuskan kepada keusahawanan, podcast ini sebenarnya tidak lari daripada itu kerana usahawan juga manusia yang mempunyai masalah dan pengalaman hidup tersendiri.
“Secara peribadi, kisah-kisah yang dipaparkan menerusi Podcast Hitam Putih ini bukan hanya memberi pengalaman baru kepada saya, malah akan membuka mata penonton terhadap kehidupan orang lain yang mungkin boleh dikaitkan kepada kehidupan masing-masing,” katanya.
Podcast Hitam Putih diacarakan bersama oleh Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan dan Datuk Rosyam Nor.