

DI PERSADA keusahawanan negara, jenama Usanita Sdn Bhd sudah cukup sinonim sebagai badan pemudahcara yang sentiasa membantu dan menyokong golongan usahawan untuk mengembangkan perniagaan masing-masing.
Ketika pereka fesyen duo – Rizman Nordin dan Ruzaini Jamil di bawah jenama Rizman Ruzaini mengadakan pertunjukan fesyen memperkenalkan koleksi raya baru-baru ini, Usanita tampil sebagai rakan strategik yang menyokong acara glamor tersebut.
“Penglibatan Usanita di dalam acara pertunjukan fesyen anjuran Rizman Ruzaini ini adalah tanda sokongan Usanita terhadap mereka yang selama ini turut menyokong usaha-usaha yang dilakukan oleh Usanita.
“Bukan itu sahaja, penglibatan ini juga sebagai sokongan mereka yang berdiri sebagai usahawan contoh yang turut membuka peluang perniagaan kepada golongan wanita serta surirumah menambah pendapatan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan.
Menurut Datin Seri Adzliana yang juga pemilik butik Amber Kuala Lumpur, Usanita cuba membantu mendekatkan usahawan yang memerlukan bantuan atau mereka yang berminat untuk berniaga dengan badan-badan berkaitan.
“Usanita sentiasa memandang fesyen dan penampilan sangat penting untuk menata gaya usahawan industri kecil dan sederhana (IKS) terutama golongan B40, dan kolaborasi bersama Rizman Ruzaini ini adalah jalinan rakan strategik yang tepat untuk kita membantu usahawan IKS,” katanya.
Sementara itu, Rizman Ruzaini meluahkan rasa syukur dan gembira dengan kerjasama yang dihulur oleh Usanita untuk menjadi rakan strategik pada majlis pelancaran koleksi Raikan Raya Bersama Rizman Ruzaini 2023 yang berlangsung di St Regis, Kuala Lumpur.
Menurut Rizman Nordin, hubungan baiknya dengan Datin Seri Adzliana telah memberikan suntikan semangat kepada usahawan khususnya golongan wanita untuk mereka meraih pendapatan sendiri.
“Kami memang ada dalam perancangan untuk meneruskan kerjasama dengan Usanita. Malah, kami juga ada tubuhkan RR Empire sebab nak membantu kaum wanita yang merupakan suri rumah, ada yang diberhentikan kerja, ada ibu tunggal dan sebagainya,” katanya yang membayangkan sebuah kerjasama lagi akan dilakukan bersama Usanita.
Sebelum ini, Rizman Ruzaini pernah bekerjasama dengan badan pemudahcara itu menerusi program Boot Camp Usanita 2.0.