

USANITA Sdn Bhd sentiasa menyokong penuh usaha-usaha kerajaan untuk memperkasakan ekonomi rakyat terutama yang melibatkan keusahawanan.
Penghujung Mei lalu, Usanita memanjangkan tanda sokongan itu dengan menyertai program Jelajah Genta Belia 2023 yang diadakan di Port Dickson, Negeri Sembilan dan menyaksikan ribuan pengunjung membanjiri acara termasuk mengunjungi reruai Usanita bagi mendapatkan informasi lanjut tentang syarikat pemudahcara ini.
“Kami berterimakasih kepada Kementerian Belia dan Sukan (KBS) yang membuka peluang kepada Usanita untuk lebih dekat dengan masyarakat di samping memberi pendedahan kepada pengunjung berkaitan peranan Usanita.
“Program Jelajah Genta Belia 2023 ini adalah inisiatif KBS menerusi Jabatan Belia dan Sukan Negara yang mampu memperkasakan ekonomi golongan belia terutama di luar bandar.
“Usaha pemerkasaan ekonomi oleh pihak KBS dalam kalangan belia ini sangat baik memandangkan cuaca ekonomi dunia yang tidak menentu dan sebagai badan pemudahcara, Usanita melihat perniagaan adalah antara salah satu jalan untuk golongan luar bandar keluar daripada kemiskinan,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Usanita Sdn Bhd, Datin Seri Adzliana Dato’ Sri Prof Dr Hasan.
Beliau yang ditemui di program berkenaan berkata, Port Dickson adalah antara 43 lokasi yang menjadi pilihan pihak penganjur bagi Jelajah Genta Belia 2023 bermula Jun hingga Oktober ini.
Program Jelajah Genta Belia 2023 itu juga dihadiri oleh Timbalan Menteri Belia dan Sukan (KBS), YB Adam Adli Abd Halim.
Ketika majlis pelancaran program ini yang diadakan di Kajang pada 3 Jun lalu, Adam memberitahu pihak media yang program ini mampu membantu kira-kira 15,000 belia untuk cenderung dalam bisnes.
“Seramai 15,000 belia bakal mendapat manfaat daripada keseluruhan jelajah ini, di mana mereka bersama-sama komuniti dapat melaksanakan aktiviti merangkumi kegiatan ekonomi yang akan memberi impak secara langsung kepada pemerkasaan ekonomi,” kata Adam.