Usanita

program

Mentoring-min

1. Mentoring

Dalam usaha untuk meningkatkan bisnes, mentor amat diperlukan untuk tunjuk ajar dan dijadikan panduan. Bagaimanapun bukan semua mentor itu adalah mentor yang tepat untuk semua dan hati-hati kerana hari ini, ramai ‘mentor’ bidan terjun yang belum pasti hasilnya. Memilih mentor yang betul perlu mengambil kira pelbagai faktor penting termasuk:

1.1 Kenal Pasti Keperluan Bisnes

Dua perkara yang usahawan perlu kenal pasti adalah kemahiran yang ingin dipelajari hari ini dan esok. Mentor yang bijak akan membantu usahawan mengecapi kejayaan hari ini sebelum mendidik usahawan ke peringkat seterusnya. Usahawan harus bijak membuat analisis tentang keperluan bisnesnya kerana bukan semua mentor mampu membantu dalam jangka panjang atau sekurang-kurangnya lima tahun akan datang. Usahawan perlu tahu jenis bimbingan yang diperlukan termasuk aspek pemasaran, penjenamaan dan pengurusan kewangan. Kebiasaannya program mentor-mentee sebegini akan memberi hasil yang baik jika ia dijalankan sekurang-kurangnya 12 hingga 18 bulan.

1.2 Kekuatan dan Kelemahan Mentor

Di USANITA, usahawan tidak boleh sewenang-wenangnya menjadikan seseorang itu sebagai mentor. Kenal pasti kualiti mentor tersebut dan ambil kira faktor seperti sikap timbang rasa, kejujuran, kemahiran berkomunikasi, serta kemahiran berfikir. Setelah mempertimbangkan segala faktor, kata sepakat serta persetujuan pelantikan atau kerjasama perlu dipersetujui kedua-dua belah pihak.

1.3 Pendengar Yang Baik

Mentor USANITA akan berusaha mendengar setiap masalah yang dihadapi oleh usahawan dan membantu memberi pandangan. Mentor tidak seharusnya menolak setiap cadangan mahupun keputusan daripada usahawan. Lebih baik jika mentor mendengar dengan teliti setiap isu yang dibangkitkan dengan membantu usahawan menyelesaikan masalah, bukan memberi arahan semata-mata.

1.4 Cabaran

Selain pendengar yang baik, mentor perlu sentiasa membuka ruang dan peluang kepada usahawan untuk mencuba sesuatu yang baru bagi mencapai kecemerlangan syarikat. Peluang begini sebenarnya satu cabaran untuk usahawan tempuhi kerana tanpa cabaran, mereka tidak bergerak ke depan. Tip memilih mentor yang baik dapat membantu usahawan memacu perkembangan bisnes dengan cepat. Jika tersilap pilih, kemungkinan misi syarikat tidak akan tercapai. Usahawan perlu ada strategi bijak dengan mengenal pasti apa yang ingin dipelajari dan saling melengkapi termasuk belajar melalui kegagalan. Pastikan dan pertimbangkan empat faktor di atas ketika ingin memilih mentor bisnes anda.

seminar-min

2. Seminar & Motivasi

Setiap manusia sudah disediakan ‘alat’ yang sama pada diri masing-masing oleh Tuhan. Akal fikiran untuk berfikir, emosi untuk meluahkan perasaan, spiritual untuk tentukan nilai dan fizikal untuk bertindak. Namun setiap manusia diberi kelebihan berbeza seperti ilmu, kemahiran, kekayaan dan kecemerlangan.

Apakah yang menyebabkan manusia berbeza? Apakah mereka betul-betul mengenali diri? Hanya mereka yang mengenali diri akan dapat menyerlahkan potensi diri sendiri. Manusia yang tidak mengenali diri ini bukan sahaja sukar untuk berjaya, malah mereka tidak dapat beri yang terbaik untuk diri, organisasi, keluarga dan masyarakat. Inilah golongan yang akan menjadi mangsa kepada orang lain. Mereka akan menyalahkan dan mengalihkan salah kepada orang lain. Hasilnya, semua rugi termasuk diri sendiri.

Di USANITA, kami memberi pendedahan dan motivasi kepada golongan sasar yang memerlukan sebagai nilai sokongan dalam kehidupan . Di samping itu kami membangunkan program bagi memenuhi keperluan organisasi kerajaan mahupun swasta yang ingin mewujudkan individu warga masyarakat yang positif, produktif dan efektif.

Menerusi Seminar dan Motivasi, peserta akan lebih kenal setiap komponen diri yang akan membangunkan apa yang dikenali sebagai potensi. Mereka memahami setiap satu, mengetahui bagaimana ia berfungsi dan belajar untuk mengawalnya. Di sini, peserta akan dapat membina blue print yang membangun, mengatur dan menetapkan matlamat hidup jangka masa pendek dan panjang.

A. Membangunkan jati diri dan nyala rasa untuk memacu kejayaan secara konsisten.
B. Melepasi ketakutan yang ada pada diri dan tekad untuk menakluknya.
C. Membuka jalan untuk mencapai kejayaan di dunia sebagai jambatan ke akhirat.

seminar usahawan-min (1)

3. Keusahawanan

Wanita yang merupakan separuh daripada penduduk negara ini telah sama-sama menyumbang kepada pertumbuhan pesat ekonomi Malaysia. Begitupun dengan berlakunya perubahan-perubahan di peringkat nasional dan global, wanita perlu mempertingkatkan keupayaan di dalam sektor ekonomi, sosial dan politik bagi memastikan mereka menikmati kehidupan yang berkualiti dan sejahtera terutamanya dari segi kesaksamaan gender.

Penyediaan persekitaran yang kondusif bagi memastikan penyertaan wanita yang lebih berkesan dalam pembangunan negara perlu dititikberatkan untuk mencapai kesaksamaan gender. Wanita hendaklah dilengkapkan dengan kemahiran dan pengetahuan yang sesuai bagi menjadikan mereka mampu untuk lebih berdaya saing dan serba boleh untuk menghadapi cabaran globalisasi.

Penyertaan wanita dalam aktiviti ekonomi kian menyerlah dan meningkat terutama dalam kategori perniagaan, pengurusan dan profesional. Bagaimanapun beberapa cabaran perlu diatasi seperti kewujudan unsur-unsur diskriminasi terhadap wanita di tempat kerja, penyertaan wanita yang rendah dalam bidang keusahawanan dan isu berkaitan jaringan keselamatan sosial untuk wanita di luar pasaran pekerjaan.

Di USANITA kami akan membudayakan aktiviti keusahawanan bagi menambah baik nilai ekonomi kepada semua golongan wanita dan ahli.